Isnin, 27 Disember 2010

Salam Tahun Baru Hijriah Untuk Semua!!!



Opss....dah nak masuk bulan Safar dah....laa...lama sungguh tak update blog ni...maklumlah akhir-akhir tahun ni sibuk betul...
Apa pun ana nak ucapkan tahniah buat semua dalam mengemudi bahtera kehidupan yang sementara ini. Moga-moga kehidupan kita pada hari ini lebih baik dari semalam dan demikianlah seterusnya.
Ana juga nak ucapkan tahniah kepada anak murid ana yang mengikuti kelas tuisyen yang ana lakukan kerana berjaya dengan cemerlang dalam UPSR yang lalu...Tahniah dan tahniah....
Sebenarnya ini kelas dan pengalaman pertama ana mengajar murid-murid sekolah dalam subjek UPSR. Ana buat kelas UPSR untuk kesemua subjek dan alhamdulillah mereka semua berjaya menunjukkan prestasi yang baik. 3 orang berjaya mendapat 5A, seorang 4A 1B dan selebihnya berjaya mendapat sekurang-kurangnya 2A!! satu pencapaian yang mereka dan ahli keluarga mereka tidak terduga!! Disebabkan anugerah Allah ini telah menyebabkan ana dihubungi oleh ibubapa untuk meminta anak mereka diajar pada tahun hadapan!!
maaf...ana terpaksa tolak sebahagian permohonan memandangkan ruang yang kecil. Moga-moga usaha kecil ini mendapat keberkatan disisi Allah hendaknya... Ada yang mohon ana ajar subjek PMR malah subjek Matematik Tambahan untuk SPM...tapi ana terpaksa tolak memandangkan fokus ana lebih kepada pelajar UPSR dan ditambah pula kekangan masa dalam perbagai perkara. Mungkin satu masa nanti ana akan buka untuk kelas-kelas yang diminta wallahua'lam

Khamis, 9 September 2010

Salam Aidilfitri


Salam aidilfitri diucapkan kepada semua pelawat blog ini khususnya pada mereka yang mengenali...maaf zahir dan batin.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Hari ini 17 Ramadhan yang banyak kenangan...

Alhamdulillah....hari ni merupakan hari ke 17 Ramadhan dan hari turunnya al-Quran di muka bumi ini dari Baith al Izzah. Berkebetulan juga ia jatuh pada hari Jumaat. Alangkah indahnya ramadhan pada kali ini.
Pada masa ini, negeri-negeri tertentu di negara kita akan meraikan hari ini dengan cuti umum. Sedang sebahagian yang lain tidak berbuat demikian sebaliknya cuti umum diadakan pada awal ramadhan.
Hari ini mengigatkan saya pada seorang sahabat yang saya kenali di Ma'had Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Perak satu ketika dahulu..Seorang sahabat dan adik angkat yang cukup wara' dan alim dengan ilmu agama... Dalam usia yang begitu muda beliau telah didekatkan dengan ilmu al-Quran. Yusuf namanya...Yusuf bukanlah berasal dari keluarga yang senang....namun kesusahannya tidak mematahkan semangatnya untuk menuntut ilmu Allah. Masa cuti semesternya dihabiskan dengan bertelaah serta menghafaz ayat-ayat Allah. Pada bulan ramadhan yang mulia ini seperti biasa dia turut serta mengimamkan solat tarawikh di surau mahupun masjid atas jemputan. Namun, pada tahun itu, keadaan tidak seperti biasanya. Yusuf amat menjaga percakapan dan pandangan matanya. Selaku pelajar tahfiz, beliau tidak senang dan tidak akan melihat wanita yang tidak menutup aurat. Setiap minggu saya akan menziarainya. Disebabkan kecerdikan dan kewara'kannya...Yusuf telah dilantik menjadi ketua pelajar di Ma'had tersebut.
Saya sangat suka bergaul dengan Yusuf...akhlaknya amat jelas dengan perwatakan baik dan ikhlasnya dalam beragama. 16 Ramadhan...saya menghubungi Yusuf...bertanyakan khabar beritanya serta aktiviti hariannya... Setelah berbual panjang, Yusuf bertanya :-
Anta bila balik ?? Saya jawab: Esok ana baliklah...esokkan cuti...insyallah boleh kita jumpa di Masjid Negeri...Balas saya...Masjid Negeri adalah tempat mingguan perjumpaan kami selain di Ma'had. Yusuf terdiam...seketika dia membalas "InsyaalLah...tengoklah nanti....."
17 Ramadhan....hari cuti itu saya ke Masjid Negeri...selepas selesai solat jumaat...seperti biasa saya menunggu kehadiran Yusuf...tapi Yusuf tidak juga datang...keadaan masa itu agak redup dan akhirnya hujam mula turun dengan perlahan-lahan.. Yusuf tak datang kot...esok sahajalah saya ke Ma'ahad...balasku lagi...
18 Ramadhan....jam 8.00pg...telefun berbunyi dengan kuat sekali..
Pada paparan telefon tertulis nama Suhaidy...pelajar Ma'ahad menghubungi ku.
Assalamualaikum...
waalaikumussalam...ya ada apa sheikh??
Abang Raihan...ana lupa nak bagi tahu anta...
Bagi tahu apa ???
Anta tahu Yusufkan ??
Ya...kenapa ??
Yusuf dah kembali kerahmatullah semalam...selepas solat jumaat...
Innalillahi wainna ilaihi rojiunn...
Dimana?
Dia meninggal di Ma'ahad...kebumi malam tu jugak di kampungnya...Sheikh Mohd Noor Imamkan....
Terharu sungguh mendengar berita pemergiannya...Menurut Su, selepas disahkan meninggal, jenazah terus dimandikan dan disolatkan di masjid berdekatan...3 kali jenazah disolatkan sebelum dihantar ke kampungnya. Setelah sampai di kampungnya..ibubapanya bercadang untuk mengebumikan pada esok pagi, namun atas nasihat Sheikh Mohd Noor, jenazah akhirnya dikebumikan pada malam itu juga dengan beberapa siri solat jenazah sempat diadakan.
Su menjelaskan beberapa perubahan kelakuan Yusuf sebelum pemergiannnya disamping Yusuf sempat menghabiskan hafalannya sebanyak 30 juzuk pada hari khamis 16 Ramadhan tersebut.. Yusuf becita-cita untuk me al azhar secepat mungkin...namun habuannya Allah kurniakan kelebihan disaat pemergiannya...
Meninggal pada bulan ramadhan adalah satu nikmat dan perhormatan yang amat tinggi malah pemergiannya bukan sekadar pada bulan ramadhan ditambah pula pada hari jumaat dimana bagi mereka yang dikurniakan nikmat tersebut mendapat kerehatan daripada siksaan kubur. Yusuf diberikan lagi kenikmatan dan penghargaan dari Allah apabila beliau pergi dalam usia yang muda serta sempat menghafaz 30 juzuk al-Quran. Cuti umum serta tarikh 17 Ramadhan memudahkan lagi urusan keluarganya ditambah pula puluhan hafiz mendoakannya...Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat amin ya rabbal alamin...

Ingatan buat Yusuf Hamdan.
al Fatihah.

Khamis, 12 Ogos 2010

Salam Ramadhan


Salam Ramadhan buat semua. Moga Ramadhan pada tahun ini lebih bermakna buat kita semua. Terima kasih kepada Abg Tam, OC, Us Adiy, Abg Man dan semua yang sudi menjemput saya pada Kem Pemantapan Solat 7.08.2010 yang lalu. Mohon maaf dipinta atas segala kelahan dan kesilapan terhadap semua. Moga berjaya hendaknya kita dalam memperbaiki diri sempena bulan yang mulia ini... Amin

Selasa, 27 Julai 2010

Mari Mengenali Ulama': Almarhum as Sheikh Sayyid Muhammad Alawi al Makki


Nama beliau ialah Sayyid Muhammad ibn 'Alawi ibn 'Abbas ibn Abdul Aziz Al-Maliki Al-Hasani. Beliau berasal dari keturunan Sayyid Idris Al-Azhar ibn Idris Al-Akbar ibn Abdullah Al-Kamil ibn Hasan Al-Muthanna ibn Sayyidina Hasan r.a. ibn Saiyidina Ali k.r.w., suami kepada Saidatina Fatimah r.a. binti Rasulullah s.a.w.
Beliau dilahirkan di rumah ayahandanya, di Babus Salam, Makkah Al-Mukarramah pada tahun 1365 Hijrah bersamaan dengan 1946M. Keluarga beliau mendapat gelaran Al-Maliki kerana salah seorang nendanya dilantik menjadi Mufti Mazhab Maliki di Makkah Al-Mukarramah pda zaman pemerintahan Syarif 'Aun.
Beliau merupakan anak, bahkan cucu kepada ulama-ulama besar di Makkah Al-Mukarramah. Ayahandanya Sheikh Syed 'Alawi ibn 'Abbas Al-Maliki merupakan seorang ulama' besar di Makkah Al-Mukarramah, begitu juga datuknya 'Abbas ibn Abdul Aziz Al-Maliki.

Pendidikan Sheikh Muhammad 'Alawi Al-Maliki r.a.

Beliau memulakan pendidikan awalnya di Madrasah Al-Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Qur'an dan pengajian-pengajian tidak formal di dalam halaqah-halaqah pengajian ilmu di Masjid Al-Haram daripada ulama'-ulama' besar Makkah Al-Mukarramah.
Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di India ketika usianya mencecah 20 tahun. Di sana, beliau tinggal bersama Sheikh Muhammad Ali Zainal di Bombay. Beliau juga sempat belajar di Pakistan dengan Mufti Pakistan pda ketika itu, iaitu Sheikh Muhammad Syafi'e dan sebagainya.

Beliau juga pernah belajar di Libya. Di sana, beliau belajar di Ma'ahad Al-Azhari dan seterusnya menyambungkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar di Mesir.
Kemudian, beliau terpaksa pulang semula ke Makkah Al-Mukarramah untuk menjaga ayahandanya yang tidak berapa sihat. Beliau seterusnya menyambung pengajiannya di Kuliah Syariah Universiti di Makkah. Namun, setelah tamat pengajian beliau di Makkah, beliau kembali menyambung pengajiannya di Al-Azhar di peringkat Master dan Ijazah Kedoktoran dalam pengkhusuan hadis. Beliau akhirnya mendapat keputusan MUMTAZ (amat cemerlang). Tesis karangan beliau mendapat pujian daripada ulama'-ulama' besar Al-Azhar.

Guru-guru Sheikh Muhammad 'Alawi Al-Maliki r.a.:
Di antara guru-guru dan pembimbing beliau adalah:
Dari Makkah dan Madinah(antaranya):
Ayahandanya Sayyid 'Alawi ibn 'Abbas Al-Maliki
Sheikh Muhammad Yahya ibn Aman Al-Maliki
Sheikh Muhammad Al-'Arabi ibn Tabbani Al-Maliki
Sheikh Hasan ibn Sa'id Yamani Al-Maliki
Sheikh Hasan ibn Muhammad Al-Mashsyat
Sheikh Muhammad Yaasiin ibn Isa Al-Fadani
Al-Habib Hasan ibn Muhammad Fad'aq
Al-Habib Abdul Qadir ibn 'Aidarus Al-Bar

Dari Hadramaut (antaranya):

Al-Habib Umar ibn Ahmad Sumait
Al-Habib 'Alawi ibn Abdullah Al-Tarimi
Al-Habib Muhammad ibn 'Alawi ibn Syihab
Al-Habib Abdul Rahman ibn Abdullah Al-Attos'
Al-Habib Masyhur ibn Toha Al-Haddad

Dari Mesir (antaranya):

Sheikh Al-Syarif Muhammad Al-Hafiz Al-Tijani Al-Misri
Sheikh Hasanain ibn Muhammad Makhluf (Mufti Mesir)
Sheikh Soleh ibn Muhammad Al-Ja'fari (Imam Besar Masjid Al-Azhar)
Sheikh Amin ibn Mahmud Khattob As-Subki
Sheikh Muhammad ibn Abdullah Al-'Aquri

Dari Indonesia (antaranya):

Al-Habib Ali ibn Abdul Rahman Al-Habsyi
Al-Habib Ali ibn Husein Al-'Attos
Al-Habib Hamid ibn Muhammad Al-Sari
Al-Habib Sheikh ibn Salim Al-'Attos
Al-Habib Abdul Rahman ibn Abdullah Al-Habsyi Al-Falembani

Dari Syam (antaranya):

Sayyid Al-Syarif Muhammad Al-Makki ibn Muhammad Al-Kattani
Sheikh Hasan ibn Muhammad Al-Maidani
Sheikh Abdul Aziz ibn Muhammad Ali Al-Sud
Sheikh Muhammad Soleh ibn Abdullah Al-Farfur Al-Hasani
Al-Tobib Sheikh Muhammad Abu Yusr ibn Muhammad Al-Husaini (Mufti Syam)

Dari Moroco (antaranya):

Sheikh Al-Syarif Abdul Kabir ibn Muhammad Al-Soqali
Sheikh Sayyid Abdullah ibn Muhammad Al-Ghumari Al-Maghribi
Sayyid Abdul Aziz ibn Muhammad Al-Ghumari Al-Maghribi
Sheikh As-Syarif Muhammad Al-Muntasir ibn Muhammad Al-Zamzami

Dari India dan Pakistan (antaranya):

Sheikh Muhammad Zakaria ibn Muhammad Yahya Al-Kandahlawi Al-Madani (Sheikh Hadis di Saharanfur)
Sheikh Habib Al-Rahman ibn Muhammad Sobir Al-A'azomi (Sheikh Hadis di Mazar Al-Ulum, Madras)
Sheikh Al-Sayyid Muhammad Yusuf ibn Muhammad Zakaria Al-Bannuri (Sheikh Hadis di Karaci)
Sheikh Muhammad Syafi'e ibn Muhammad Yasiin Al-Uthmani Al-Deobandi (Mufti Pakistan)
Sheikh Zafar Ahamd Al-Uthmani Al-Tahanawi Al-Hindi
Sheikh Muhammad Ibrahim Al-Balyawi

Masih banyak lagi para pembimbing dan guru Sheikh Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki namun tidak termampu untuk disenaraikan di ruang yang sangat padat ini. Semoga Allah merahmati mereka sekalian. Amin.

Kegigihan Beliau dalam Bidang Pendidikan

Sayyid Muhammad Al-Maliki merupakan seorang penyebar dakwah yang sangat gigih, disamping juga sebagai seorang murobbi. Beliau tetap keluar untuk mengajar sekalipun dalam keadaan tidak sihat atau ketika demam.
Kesungguhan beliau tergambar pada kata-kata anak-anak muridnya seraya berkata: "Ustaz (Sayyid Muhammad Al-Maliki) lebih tekun daripada anak muridnya sendiri".
Beliau juga sentiasa memberi galakan kepada anak-anak muridnya supay gigih dalam menuntut ilmu pengetahuan. Disamping itu, beliau turut memuliakan ilmu. Beliau sering berkata bahawa: "Saya tidak akan menerima seseorang itu belajar dengan saya kecuali dengan isyarat."
Disamping itu juga, beliau merupakan seorang yang amat memuliakan guru-guru dan para ulama'. Beliau sering mengingatkan para muridnya dengan perkataan Sheikh Al-Habib Abdullah ibn 'Alawi Al-Haddad: "Tidaklah seseorang itu dinamakan sheikh insan kecuali orang yang telah terhimpun hatinya dengan gurunya hinggakan dia tidak melihat seseorang yang lebih afdal daripada gurunya itu. Maka, yang demikian itu memberikan manfaat kepadanya."
Beliau juga turut mengasihi anak-anak muridnya sehinggakan beliau tidak membenarkan mereka memanggilnya dengan panggilan "sheikh" atau "ustaz" tetapi menyuruh mereka memanggilnya dengan panggilan "Abuya" (bererti, bapaku), untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesamanya dengan para muridnya.
Ketinggian Peribadi Beliau dan Pengabdian Beliau kepada Allah s.w.t.
Beliau merupakan seorang yang sangat zuhud dalam setiap aspek kehidupan. Beliau menolak keseronokan di dunia dan perhiasannya dan hidup dalam keadaan penuh tawadduk dan rendah diri. Beliau juga sentiasa berkhidmat kepada umat Islam yang memerlukan khidmatnya.
Beliau pernah memohon untuk berundur diri dari jawatan pensyarah di Universiti Ummul Qura. Beliau juga sentiasa mengerjakan solat jema'ah dan solat tahajjud.

Terbenamnya Matahari Ilmu Ahlus Sunnah wal Jamaah

Sesungguhnya, pemergian beliau pada 15 Ramadhan 1425 H, benar-benar merupakan suatu kehilangan yang amat menyedihkan umat Islam. Ini kerana, beliau pergi bertemu dengan Allah s.w.t. sewaktu beliau masih lagi diperlukan oleh umat Islam. Sungguhpun perjuangan beliau disambung oleh para pewaris ilmunya, namun, beliau sesungguhnya tiada tolak bandingnya dari sudut pendidikan dan tarbiah.
Pada hari tersebut, rumah beliau di penuhi oleh lebih 600 para penuntut ilmu, yang mengikuti pengajian akhir beliau. Lebih kurang 2 jam selepas majlis pengajian beliau yang berakhir pada pukul 2.00 pagi, beliau pulang ke rahmatullah dalam keadaan yang tenang, bagaikan seorang kekasih menemui sang kekasihnya. Jenazah beliau diiringi oleh lebih 200 000 orang, yang mana kebanyakkannya dari kalangan anak murid beliau.
Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Al-Haram, dan kemudiannya, jenazah beliau dikebumikan di Perkuburan Ma'la. Sepanjang perjalanan ke sana, kedengaran bacaan tahlil dan takbir dengan kuat mengiringi jenazah beliau di samping tangisan pencinta-pencinta beliau di atas pemergiannya.
Semoga Allah s.w.t. memcucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkan beliau bersama junjungan besar kita, nendanya Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. juga membalas jasa beliau atas segala jasa yang dicurahkan oleh beliau kepada umat Islam.

Al-Fatihah ila Hadrati As-Sheikh As-Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki………Amin


(Biografi ini diadaptasi dan dinukil dari buku "Al-Maliki: Ulama' Rabbani Abad ke-21" karangan Sheikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki, salah seorang anak murid kesayangan beliau, dan juga merupakan guruku yang amat disanjungi.)

Isnin, 28 Jun 2010

Mudahnya Menggelarkan Ulama'


Sekadar Gambar Hiasan

Beberapa hari yang lalu kita diperbesarkan isu kemasukan beramai-ramai 'ulama muda' dalam Parti Terbesar Orang Melayu. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada UMNO kerana berjaya menarik minat 'Ulama Muda' ini untuk memperjuangkan agama atas tiket dan jemaah UMNO. Tahniah juga diucapkan pada 'Ulama Muda' kerana pemilihan tersebut tentunya punyai alasan dan sebab-sebab tersendiri.
Hari ini 'title' ulama' amat mudah sekali dijual beli. Amat mudah sangat dilabelkan seseorang itu ulama' hanya dengan ilmu dan lagaknya barangkali. Mungkin kerana itulah golongan-golongan tertentu seolah-olah tidak mempercayai "kepimpinan Ulama'". Sepertimana juga 'title' ustaz...hari ini berlambak orang mengakui diri sebagai 'ustaz'...boleh cakap bab agama sikit dah dipanggil 'ustaz'...belajar satu dua perkara sikit dah dipanggil 'ustaz'. Satu yang baik kiranya panggilan itu akan menjuruskannya disamping sebagai doa agar sipemanggil benar-benar menjadi 'ustaz'...itu saya kira sebagai rahmat....tetapi bagaimana pula kalau si 'ustaz' ini tadi dengan lagak dan gayanya akhirnya menjadi penentang agama atau mereka yang seringkali menyalahtafsirkan agama ? Bukankah itu satu petaka jadinya. Dahulu akibat terlalu mudah dilabel ustaz, maka timbulnya satu jamaah yang akhirnya dihukum sesat oleh kerajaan. Berbalik pada soal "ulama'". Siapakah ulama' ini ? adakah ulama' mereka yang mendalami ilmu agama boleh dikategorikan sebagai ulama' ? Apakah hanya dengan belajar kat sekolah agama pastu ambil ijazah syariah atau usuluddin pastu sambung master samapai pHD agama pastu boleh dabik dada kata akulah ulama'...adakah benar demikian ??
Adakah ustaz Nik Aziz boleh dipanggil ulama' ?
Sebenarnya 'title ulama' bukan satu title yang boleh dijual beli. Ia bukan seperti title Dr atau sebagai. Gelaran ulama' amat unik dan dia bukan anugerah sultan mahupun universiti. Kalau Dr yang diberikan oleh universiti pun kadang-kadang buat silap...tapi title ulama' sepatutnya mereka yang kurang melakukan kesilapan. Gelaran ini dari Allah. Allah yang membuka hati seseorang mengangkat darjatnya sebagai ulama' dengan ilmu dan amalnya. Ia bukan hanya keilmu berjela-jela semata-mata. Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron Din sendiri apabila ditanya apakah beliau seorang ulama' ? maka beliau menjawab beliau bukan ulama' kerana ulama' adalah seseorang yang amat mengetahui segenap perkara serta amat mengamalkan setiap ilmu agama yang diketahuinya. Sebenarnya yang paling penting ada pada diri seorang ulama' adalah sifatnya yang amat merendah diri...Beliau tidak mengaku dirinya ulama' sungguhpun dirinya layak digelar ulama'. Gelaran ulama' itu diberikan masyarakat kepadanya apabila melihat adanya sifat-sifat yang dikehendaki Allah ada padanya.
Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sendiri tidak pernah mendakwa dirinya ulama' tetapi gelaran itu diberikan orang kepadanya menunjukkan pengiktirafan masayarakat dan negara ke atasnya sebagai seorang ulama'.
Persatuan Ulama' Malaysia yang ditubuhkan bukanlah mendakwa sesiapa yang menganggotainya adalah ulama' tetapi Persatuan Ulama' Malaysia ini ditubuhkan bagi mendokong aspirasi dan cita-cita serta perjuangan Ulama' berdasarkan pendirian ulama' silam dan sekarang.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga tidak terkecuali menubuhkan Dewan Ulama' bukanlah bermakna ia punyai sekelompok ulama' tetapi Dewan Ulama ini menunjukkan komitmen tinggi PAS dalam memperjuangkan Islam berdasarkan pegangan ulama'. Keikhlasan ini juga diperluaskan dengan slogan "KEPIMPINAN ULAMA" yang menunjukkan betapa utuhnya PAS membawa corak kepimpinan ulama' yang berwibawa dalam Islam.
Sebahagian ustaz yang belajar..yang ada ijazah lughah atau usuluddin atau syariah dengan mudah 'Perasan' rasa diri tu ulama' sedangkan ulama' hebat seperti Ust Haron Din pun tak mengaku dirinya ulama'...Inilah sinarionya..apabila gelaran ulama' itu amat mudah dijualkan...amat malang lagi apabila seorang yang tak tahu menahu bab agama...yang baru belajar sikit-sikit pun dah dianggap ulama' dan inilah yang nabi sabdakan apabila ia berlaku maka berlakulah banyak kesesatan akibat kelompok yang menfatwakan mengikut nafsunya.
Sememangnya untuk mendapatkan fatwa agama maka perlulah dapatkannya daripada orang yang mempelajari agama..namun, yang memberi fatwa sepatutnya hanya memberi fatwa...tetapi jangan sampai perasan nak orang panggil mereka ulama'...sebab gelaran ulama' itu punyai makna dan tugas yang amat berat. Sang Mufti sekalipun belum tentu diiktiraf Allah sebagai ulama'...Akibat perasan lebih inilah menyebabkan mereka menfatwa yang bukan-bukan...membid'ah dan melakukan perkara yang merugikan ummat.
Sesunggunya anta ciri-ciri ulama itu ialah :-
1. Memahami ilmu agama seperti aqidah, bahasa dan sasteranya,fiqh dan usulnya, hadis dan usulnya, al-quran, adab, akhlak dan sebagainya dengan mendalam.
2. Mengamalkan segala ilmu yang diketahuinya.
3. Seorang yang ikhlas dan sentiasa merendah diri (tawadhuk)
4. Sentiasa menjaga percakapan, perbuatan dan makan minumnya termasuk hartanya daripada haram dan syubhah
5. Sentiasa cintakan Allah dan Rasulnya
dan banyak lagi...Barangkali sebab itu jualah nabi mengkategorikan ulama' kepada dua iaitu ulama' su' dan ulama' akhirat. Ulama' akhirat adalah ulama' rabbani yang benar dan uikhlas kepada Allah sedang ulama' su' adalah ulama' dunia yang hanya berjuang kerana dunia. Mereka menjual agama dengan memutarbelitkan hukum-hukum agama untuk kesenangan mereka di dunia. Mereka menggunakan pengetahuan agama mereka yang sedikit untuk kemewahan yang sentara. Semoga Allah mengampuni kita serta membawakan kita semua agar dapat mencontohi ulama'-ulama' akhirat yang benar dan bukan ulama'-ulama' dunia dalam perjalan hidup yang sementara ini.

(*Penulis tidak kaitkan mana-mana kelompok agamawan sebagai ulama' dunia atau sebagainya kerana gelaran ulama' bukanlah hak penulis wallahua'lam)

Jumaat, 25 Jun 2010

Mari Mengenali Ulama': As Syahid As Sheikh Ust Hassan al Banna


Seorang rakan satu ketika dahulu pernah menyatakan kepada saya perihal kononnya Ust Hassan al Banna yang dikagumi oleh seluruh ummat Islam sebagai seorang yang hipokrit serta suka berfoya-foya. Malah dikatakan dia punyai maklumat dan cerita sebenar as-Syahid. Saya dengan berangnya datang menjelaskan kedudukan serta sejarah sebenar dengan membawakan bukti sejarah yang saya ada. Saya minta rakan saya itu kemukakan buku-buku yang didakwanya. Rakan saya itu terus lari meninggalkan saya. Jelaslah rakan saya itu sebenarnya berniat jahat terhadap fakta seorang ulama'. Ingatlah jangan sesekali kita memfitnah orang apatah lagi yang difitnah itu seorang ulama' dan mujaddid ummat. Tokoh al Ikhwan ini sangat dicemburui yahudi zionis sehingga seringkali cuba memburuk-burukkan beliau. Seorang as-Syahid yang Allah janjikan syurga buat mereka. Berikut saya sertaka serba ringkas ulama' dan tokoh syuhada' abad ini :-

Sheikh Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati. Beliau telah berjaya menghafaz seluruh al Quran dalam usia yang sangat muda.

Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.. (Mitchell 1969, 1; Lia 1998, 22-24)

Hasan Al- Banna merupakan anak sulung dari lima orang adik-beradik. Dalam usia lapan tahun beliau memulakan pelajaran permulaannya di sebuah sekolah rakyat di kampungnya, dan dalam usia dua belas tahun beliau memasuki sekolah rendah, dimana beliau terus menggabungkan dirinya dalam badan “Latihan Akhlak” atau “Jama’ah Al Suluk Al Akhlaki” yang dikelolakan oleh gurunya sendiri. Di antara kegiatan badan ini ialah mengenakan tatatertib dalam bentuk denda-denda ke atas ahlinya yang mengeluarkan kata-kata cacian dan maki hamun kepada teman-teman sejawatnya atau melakukan perbuatan yang menyalahi Agama. Dalam masa yang pendek sahaja beliau memperlihatkan sifat-sifat kepimpinan yang baik dan muncul sebagai pemimpin badan itu. Dalam peringkat usia persekolahan rendah ini, Hasan Al Banna mula menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh “Al Ikhwan Al Hasafiah” sebuah pertubuhan sufi yang banyak mempengaruhi jiwanya. Di sana beliau berkenalan dengan seorang belia yang masih muda bernama Ahmad Al Sakri yang kemudiannya menjadi tokoh yang memainkan peranan penting di dalam pertubuhan Jama’ah Al Ikhwan Al Muslimon.
Sewaktu berada di tahun akhir sekolah rendah, pemberontakan 1919 telah tercetus dan beliau turut menyertai pelajar-pelajar yang lain dalam demonstrasi-demonstrasi di perkarangan dan di luar sekolah di samping menggubah dan mendeklamasi sajak-sajak yang berkobar-kobar dengan semangat nasionalisme.

Pada tahun 1922 beliau di terima selaku anggota I dalam pertubuhan Jamaatul Al Safiah yang sebelum ini terkenal dengan nama “Al Ikhwan Al Safiah”. Pertubuhan ini mempunyai dua tujuan dua hala iaitu :

(i) berjuang untuk memelihara prinsip-prinsip akhlak Islam.
(ii) Menentang gerakan da’yah Kristian di Bandar Kahirah.

Semasa di dalam pertubuhan ini beliau terpengaruh dengan ajaran Al Imam Al Ghazali. Pada waktu itu beliau bukan sahaja terkenal rajin dengan pelajarannya, malah beliau melakukan penelahan di luar yang luas. Beliau sangat gemar membaca buku-buku Tasauf, Sejarah Rasulullah (s.a.w.), kisah-kisah perjuangan pahlawan yang mempertahankan tanah air dan agama dan kisah-kisah perjuangan menuju jalan Allah.

Pada tahun 1923 dalam usia 16 tahun beliau telah lulus sekolah perguruan rendah dan pada tahun yang sama juga beliau memasuki kuliah Darul Ulum satu yayasan pengajian tinggi yang merangkul pengajian tradisional dan pengajian moden dan merupakan satu institusi pengajian tinggi di masa itu. Semasa berada di kota Kaherah beliau dengan pandangan mata seorang anak desa yang berpendidikan agama dapat melihat dengan jelas pergolakan parti poltitik dan aliran-aliran yang menentang agama yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Arttaturk. Beliau juga melihat aliran Non Islamic di Universiti Mesir. Ketika itu ramai beranggapan bahawa Universiti Mesir tidak akan dapat menegakkan sekularismanya melainkan dengan menentang agama dan memerangi tradisi-tradisi sosial yang berbentuk agama. Ia melihat denagn sedih bagaimana persekutuan-persekutuan, pari-parti politik, himpunan-himpunan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial yang sekular semuanya menuju satu haluan iaitu melemahkan pengaruh agama. Ketika itu beliau mengeluh merorong "Allah sahaja yang tahu berapa lama kami tidak kerana memikirkan nasib umat, menganalisakan penyakit-penyakit yang dihadapi dan cara-caran untuk mengatasinya. Kami begitu risau hingga sampai kami menangis.”
Pada tahun berikutnya beliau memasuki satu pertubuhan Agama yang lain iaitu “Jama’atul Makram Al Akhlak Al Islamiah” atau Persekutuan Budi Utama Islam, iaitu sebuah pertubuhan yang giat mengaturkan ceramah-ceramah Islam, beliau dan rakan-rakan seperjuangan telah menjalankn dakwah bukan sahaja di masjid-masjid, tetapi di segala tempat perhimpunan orang ramai terutama di kedai-kedai kopi rakyat di merata pelusok desa. Usaha beliau membawa dakwah di kedai kopi telah memberikan hasil yang amat besar. Pada peringkat ini beliau banyak membuat perhubungan denagn tokoh-tokoh pemimpin Islam yang terkenal di zaman itu seperti Mahyudin Al Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain tokoh yang memperjuangkan Islam.
Pada tahun 1927 beliau mendapat Ijazah dari Darul Al Ulum dalam usianya 21 tahun. Kemudian beliau menjadi guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah rendah di Bandar Isma’iliah di wilayah Terusan Suez dan terus berkhidmat di bidang perguruan Islam sembilan belas tahun dan meletakkan jawatannya sebagai guru pada tahun 1946. Beliau menyusun kegiatan da’wah dengan berkesan dalam masyarakat bandar Isma’iliah, beliau juga telah membawa da’wah ke kedai kopi yang dilakukan di kota Kaherah, dan di sanalah dapat mencungkil bakat-bakat manusia yang baik untuk diberikan pendidikan selanjutnya yang lebih teratur.

Walaupun beliau tinggal di Isma’iliah, namun beliau tetap mempunyai hubungan yang rapat dengan badan-badan dan tokoh-tokoh pejuang Islam di Kaherah. Beliau ikut serta menyokong pertubuhan Persekutuan Belia Islam, pada tahun 1927 dan menjadi wakil majalah Al Fatah, sebuah majalah yang bertugas selaku jurucakap badan-badan dan pertubuhan Islam di masa itu. Majalah itu dipimpin oleh Mahyuddin Al Taib salah seorang ulama pejuang Islam dan pengasas Persekutuan Belia Islam.
Pada bulan Mac 1928 beliau telah menubuhkan organisasi Al Ikhwan Muslimon di Bandar Isma’iliah. Pertubuhan itu telah berkembang pesat. Pada tahun 1923 beliau telah berpindah ke kota Kaherah dan membuka cawangan Pertubuhan Ikhwan Muslimon di Kaherah bersama adik bongsunya yang sehaluan dan seperjuangannya Abdul Rahman Al Banna. Pertubuhan itu telah berkembang subur di masa tercetusnya perang dunia yang kedua dan berjaya menjadi salah satu kuasa politik yang bertarung di masa itu.
Beliau telah mengatur Ikhwan Muslimon dalam tiga peringkat. Peringkat pertama, memperkenalkan gagasan Ikhwan Muslimon dan menyebarkan da’wah asas melalui ceramah-ceramah dan mengadakan kegiatan-kegiatan kebajikan masyarakat. Kedua, peringkat membentuk keperibadian anggota-anggota Ikhwan sebagai persediaan untuk melancarkan jihad. Ketiga, peringkat melaksanakan cita-cita perjuangan Islam yang tegas.
Dalam tahun 1948 Pertubuhan Ikhwan Muslimon telah diharamkan oleh pemerintahan Al Nukrasyi dari parti al Sa’di kerana dituduh merancangkan satu pemberontakan untuk menumbangkan kerajaan. Berikutan dengan pengharaman itu, ibu pejabat organisasi itu dikepung polis dan semua anggota yang ada di bangunan itu ditangkap kecuali Al Imam Al Sheikh Hasan al Banna. Semua cawangan organisasi itu dibubarkan dan harta bendanya diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Dalam Negeri. Organisasi itu seterusnya dituduh sebagai musuh ketat kerajaan yang cukup lengkap dengan persediaan senjata, hospital-hospital, sekolah-sekolah, kilang-kilang dan syarikat perniagaan yang kukuh.

Al Imam Hasan Al Banna yang masih bebas itu terus berusaha dengan segala dayanya, untuk menyelamatkan organisasi itu tetapi ia tidak dapat menemui jalan-jalan damai dengan perdana menteri Al Nukrasi Bassa. Tanggal 12 Februari 1949 Al Imam Syed Hasan Al Banna telah ditembak ketika beliau keluar dari bangunan Al Ikhwan Muslimon untuk menaiki kereta sewa dan beliau telah meninggal dunia di Hospital beberapa minit selepas itu. Kematian beliau telah dirancang oleh polis rahsia kerajaan

Jenazahnya telah dikebumikan di bawah kawalan kereta-kereta kebal dan kereta-kereta perisai dan tidak dibenarkan disaksikan oleh orang ramai kecuali keluarganya sendiri.
Demikian tamatnya kisah seorang penda’wah dan pejuang Islam yang ulung di abad dua puluh dan langkah-langkah perjuangan beliau telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan yang dinamis di merata bumi masyarakat Islam.

Khamis, 24 Jun 2010

Ustaz Pada Dunia Masa Kini 1

Dua hari lepas saya sempat menyaksikan satu lakonan hebat dari seorang ustaz di kaca televisyen. Memang lah dunia sekarang ni dah menuju ke saat-saat kehancuran. Golongan agamawan atau para ustaz sudah tidak lagi menjaga peribadi mereka. Kalau dahulu golongan ustaz mahupun tuan guru ini amat dihormati dan disegani. Namun, kini tidak semua golongan sedemikian yang boleh dicontohi...perbagai perkara boleh berlaku malah amat buruk lagi kelompok-kelompok ini persis seperti pelakon hebat yang layak diberikan anugerah 'Grammy' setaraf pelakon-pelakon dari hollywood sana.
Bermula dengan era di zaman 80-an dengan wujudnya seorang yang membawakan imej agama berjaya mempengaruhi orang ramai menyertainya sehingga beranggapan dirinya sebagai pemuda yang membawakan panji-panji Islam untuk diberi kepada Imam Mahdi, kita dikejutkan pula dengan sikap kelompok yang mempelajari agama tetapi tidak mempercayai agama dalam era 90-an. Kelompok ini tidak terhenti disini...malah wujud pula kelompok agama yang mengharuskan pelacuran dan menolak perlaksanaan hukum Hudud Allah dalam ceramah-ceramah mereka di Mesir, Jordan dan beberapa negara timur tengah yang berlaku dalam tahun 2000-an. Kelompok perosak agama atas nama agama ini terus aktif dengan membenarkan pensyarah-pensyarah luar yang seagenda dengan mereka turun mengajar di Universiti kita bagi merekrut fahaman-fahaman songsang ini. Maka kita dikejutkan lagi dengan sikap solat berimamkan wanita. Demikianlah wujudnya pula kelompok agama atas tiket mufti dengan lantang membid'ahkan orang lain yang tidak sealiran dengannya. Kini, mantan mufti tersebut agak kurang membid'ahkan orang setelah perbagai siri muzakarah ulama' yang dilakukan terhadapnya. Sungguhpun isu bid'ah-membid'ah ini mula surut dan menenagkan ummat, kita kini dikejutkan pula dengan sikap sebnahagian 'Ustaz-Ustaz Dunia' menjual perbagai produk untuk rawatan makhluk halus. Para Ustaz digambarkan persis seperti tok bomoh. Ditayangkan di tv dan akhbar dengan kaedah rawatan serta caj-caj yang agak melampau! Saya bukan tak setuju jika perubatan Islam dipromosikan dan diperkenalkan melalui media elektronik, namun janganlah para ustaz mengambil kesempatan ke atas pesakit dengan mengenakan caj yang melampau serta menaburkan cerita-cerita dongengan untuk menunjukkan kehebatan mereka. Saya juga merawat namun itu semua bukan ciri-ciri perawat Islam sebenar.Dahulu seorang kenalan saya yang baru pulang dari Mesir turut mendakwa kononnya dia boleh mengubati pesakit dari jauh. Ustaz tersebut begitu 'excited' dengan kaedah rawatannya. (Sungguhpun pada pandangan saya ianya tidak begitu selari dengan istilah rawatan Islam) Akhirnya ustaz berkenaan mempelawa saya merawat 'kawannya' di Melaka. Darussyifa' contohnya merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang cuba memartabatkan perubatan Islam, sungguhpun tidak semua perawatnya berjaya memahami dan menghayati etikanya namun gambaran etika yang terpahat menunjukkan betapa agungnya ikhlas pada diri perawat. Kini, kelompok ustaz dunia yang mengaku ulama' ini semakin menjadi-jadi. Kelompok ini sangup menitiskan air mata dihadapan kaca televisyen sambil membacakan hadis yang berkaitan amalan dan keimanan sedangkan dimanakah keimanan kiranya sanggup memanggil dukun atau bomoh dari Negeri Sembilan datang ke rumah hanya kerana untuk mengubati penyakit batu karangnya ?? Bila di tanya...Eh bukankah syirik tu ustaz ? Dia bersabda : Eh tak pe...ni untuk berubat...."
MasyaAllah...berapa banyak perubatan Islam kat Malaysia ni....berapa banyak tuan guru dan ulama rabbani di Malaysia ni...tapi bomoh jugak yang dia nak jumpa...habislah amalan dan aliman hanya kerana syirik. Syirik nya dia menentang negara Islam...Syiriknya juga dia menentang undang-undang Islam malah lebih teruk syiriknya apabila melakukan perbuatan syirik yang menyesatkan. Inilah ujian terhadap iman. Orang Alim di uji mengikut tahap kealiman mereka. Dia dikenali di kalangan manusia sebagai insan yang amat lantang bersuara...malangnya dia dikenali makhluk dilangit sebagai insan yang kuat mensyirikkan tuhannnya. Moga kita dijauhi dari petaka ini semua...wallahua'lam

Rabu, 2 Jun 2010

12 sukarelawan Malaysia di Israel sudah dibebaskan

2010/06/02
KUALA LUMPUR: Semua 12 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan komando rejim Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, sudah dibebaskan dan kini berada di sempadan Jordan.

Pembebasan mereka itu dibuat awal hari ini, menurut laporan langsung dari wartawan Astro Awani yang turut ditahan

Sumber : Berita Harian Online

Masjid, surau digesa solat hajat mohon keselamatan misi bantuan ke Gaza


PUTRAJAYA 1 Jun - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi memohon keselamatan semua anggota misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, solat hajat itu diharap dapat diadakan serentak di seluruh negara mulai selepas solat Maghrib hari ini dan juga selepas solat Jumaat 4 Jun ini.


Katanya, khutbah Jumaat di masjid-masjid di bawah Jakim di Wilayah Persekutuan juga akan menyentuh isu tersebut kerana misi kemanusiaan itu melambangkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap nasib penduduk Gaza.
"Jakim memohon kerjasama dan jasa baik pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh negara agar mengadakan majlis solat hajat khususnya hari ini.
"Kita mendoakan kesejahteraan sukarelawan yang menjadi mangsa kekejaman Israel, kita mohon Allah selamatkan mereka khususnya rakyat Malaysia sama ada Islam atau bukan Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini


Beliau memberikan reaksi terhadap keganasan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang terlibat dalam misi 'Flotila Kebebasan' bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza semalam.
Setakat ini, seramai 11 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan Astro Awani yang berada dalam kapal milik Turki itu belum diketahui nasib mereka.
Wan Mohamad berkata, pendekatan melalui solat hajat perlu dilaksanakan segera kerana misi bantuan kemanusiaan itu adalah bagi membantu penduduk Gaza yang selama ini terseksa akibat kekejaman rejim Zionis.
"Kita menyambut baik usaha dan ikhtiar sukarelawan antarabangsa termasuk dari Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan melalui jalan laut ke Gaza.
"Sebab itu, kita kita amat kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel ke atas misi bantuan itu," katanya.
Selain itu, beliau berkata, Jakim tidak menghalang umat Islam yang ingin memberikan dan sokongan kepada misi tersebut melalui perhimpunan aman termasuk di kawasan masjid.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pihak penganjur agar memohon kebenaran daripada pengurusan masjid, Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri serta polis.
"Reaksi rakyat Malaysia terutamanya umat Islam sewajarnya melambangkan kematangan dalam tangani isu mencabar ini.
"Kita boleh zahirkan rasa marah malah kita berhak rasa marah terhadap pihak yang zalim namun tindakan kita mesti selaras dengan undang-undang sedia ada.
"Jika perhimpunan mahu dilakukan di masjid-masjid di bawah Jakim, kita akan pertimbangkan sebarang permohonan manakala di negeri-negeri perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama negeri tersebut," katanya.
Mengenai usaha boikot berterusan terhadap produk-produk berkaitan Israel, Wan Mohamad menyerahkan gerakan itu kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita percaya umat Islam dan rakyat tentunya tidak rela dan berasa malu untuk bersekongkol dengan rejim yang zalim sama ada Israel atau mana-mana negara," katanya.

Selasa, 1 Jun 2010

12 Rakyat Malaysia di atas Kapal Mavi Marmara


Selasa, 01/06/2010 – Berikut adalah nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di atas kapal penumpang “Mavi Marmara” milik IHH, Turki ketika diserang oleh komando laut Israel di perairan antarabangsa hari ini.
1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO
Mustafa Mansur yang mewakili MAPIM menaiki kapal Mavi Marmara pada 29hb Mei setelah kapal Challenger II yang dinaiki beliau mengalami kerosakan di tengah perjalanan.
sumber : CMT-LL4G

Selasa, 01/06/2010 – Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memberi persetujuan untuk mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan untuk melakukan solat hajat.
Wakil Dewan Pemuda Masjid di dalam CMT-LL4G, Ust Taqiudin, memaklumkan telah mengajukan kepada JAKIM permohonan agar masjid-masjid di seluruh negara melakukan solat hajat. Permohonan telah diterima oleh pihak JAKIM dan tindakan susulan akan dibuat.
Solehuddin ShuibSetiausaha CMT-LL4G

Sumber: Palestinkini.info

Isnin, 31 Mei 2010

Rasmi Serangan Rejim Zionis Terhadap Kapal Konvoi LL4G.




Konvoi Lifeline4Gaza dari Malaysia selamat berlepas ke Turki jam 12.30 tengah malam tadi (18.05.2010) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Konvoi ini diketuai oleh Noorazman Mohd Samsuddin yang juga merupakan Pengerusi Biro Haluan Palestin dan Pengarah Projek Lifeline4Gaza. Konvoi antarabangsa yang melibatkan wakil NGO dari 50 buah negara ini membawa 10,000 tan barangan keperluan untuk diagihkan kepada warga Palestin di Gaza. Lebih 80 orang hadir di malam tadi di KLIA untuk memberikan sokongan termasuk wakil-wakil daripada NGO-NGO disamping ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai peserta konvoi. Namun dari maklumat yang diterima, pasukan konvoi telah mula menghadapi ancaman dari tentera Israel pada malam tadi. Tentera Israel sudah mula menaiki kapal. SMS yang saya terima malam tadi menyatakan ketua misi Tuan Haji Noorazman: Kami sedang berada di Perairan Gaza dalam jam 4:30 petang (waktu Malaysia), kami sedang berdepan dengan kapal Israel. Pasukan konvoi LL4G Malaysia dan Indonesia diberi amanah untuk menjaga keselamatan kapal konvoi. Dijangkakan pasukan Komanso Israel akan turun ke kapal melalui helikopter dan cuba merampas kapal konvoi tersebut.Mohon diadakan solat hajat dari semua Muslimin dan Muslimat diseluruh dunia. Takbir..!
Marilah sama-sama kita doakan mereka antara 2 kemenangan, SYAHID atau MENANG DAN SAMPAI KE TEMPAT TUJUAN!

Jumaat, 21 Mei 2010

Dakwaan pengikut Asaari hanya ghaib, karut – Harussani


PUTRAJAYA 20 Mei – Pengikut Asaari Muhammad harus kembali kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menerima hakikat tiada manusia yang mati akan hidup balik.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, kepercayaan bahawa bekas pemimpin kumpulan haram Al-Arqam yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 13 Mei lalu itu cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat adalah karut.

“Sejak awal manusia dijadikan, tidak ada yang mati hidup balik kecuali Nabi Isa, itu pun disebut dalam Al-Quran telah diangkat ke langit dan akan dihantar ke dunia pada akhir zaman untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

“Demikian juga dengan kepercayaan kaum Syiah Ismailiah bahawa Imam ke-12 mereka telah ghaib dan akan turun ke dunia (pada akhir zaman). Ia hanya kepercayaan tetapi tidak disebut dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah

“Macam Asaari, dia telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital (Hospital KPJ Ipoh Specialist), jenazahnya kemudian dituntut dan dikebumikan di perkampungannya. Arwah tidak ghaib,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa pengikut Asaari mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 73 tahun cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

Rabu, 19 Mei 2010

Panduan untuk wanita yang bekerja menurut Dr Yusuff Qardhawi


Panduan untuk wanita yang bekerja menurut Dr Yusuff Qardhawi
WANITA BEKERJA
oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi

Soalan : Apakah hukumnya seorang wanita bekerja? Maksud saya ialah bekerja di luar rumah sebagaimana kaum lelaki. Adakah harus bagi wanita untuk turut terlibat sama memberi saham meningkatkan produktiviti, pembangunan dan juga aktiviti di dalam masyarakat? Atau adakah wanita itu hanya layak untuk terkurung serta bekerja di dalam linkungan rumah sahaja? Islam sebagaimana yang kami tahu adalah agama yang memuliakan kaum wanita serta lebih dahulu memberikan kepada mereka hak- hak kemanusiaan sebelum daripada Barat. Oleh yang demikian tidakkah perkerjaan itu juga anyara hak wanita yang akan memelihara air mukanya serta kehormatannya daripada menjadi barang murahan?

Mengapa wanita tidak turut menyertai medan kehidupan sebagaimana yang dilakukan oleh wanita Barat telah berjaya menajamkan keperibadiannya, memperolehi haknya serta memberi saham dalam memajukan masyarakatnya? Kami ingin mengetahui batasnya syarak untuk setiap pekerjaan yang diharuskan bagi kaum wanita Muslimah yang mana meskipun mereka bekerja, akan tetapi mereka tidak sekali- kali mengadaikan agama atau melalaikan segala tanggungjawabnya. Kalau boleh biarlah keterangan itu nanti jauh daripada sikap- sikap melampau yang melarang keras wanita daripada menuntut ilmu, bekerja dan keluar daripada rumah sekalipun ke masjid! Di samping itu, ia juga hendaklah jauh daripada segala pandangan yang bermudah- mudah; seolah- olah mahu membebaskan wanita Muslimah daripada segala ikatan sehingga menjadi barangan murahan di pasaran. Apa yang kami mahukan ialah hukum syarak yang sahih. Muslimah yang belajar.

Jawapan:

Wanita adalah manusia sebagaimana juga lelaki. Ini kerana kejadian kedua- duanya itu adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud:

“Setengah kamu ( adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.” ( Ali – Imran: 195)

Oleh kerana manusia adalah makhluk yang hidup, maka adalah menjadi tabiatnya untuk sentiasa berfikir dan juga bekerja. Tanpa kedua- dua ini, ia tidak akan menjadi manusia. Dan Allah (s. w. t) sendiri menjadikan manusia itu adalah untuk bekerja. Malah Allah tidak akan menjadikan manusia melainkan untuk di uji siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya. Oleh itu wanita di taklifkan untuk melakukan kerja- kerja yang baik sebagaimana ia juga di taklifkan ke atas lelaki. Dari sudut ganjaran pahala amalan yang dilakukan oleh wanita juga adalah sama sepertimana lelaki. Firman Allah: Maksudnya:

“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firmanNya: ” Sesungguhnya Aku tidak akan sia- siakan amal orang- orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan”. (Ali- Imran: 195)

Bukan sahaja ganjaran di akhirat, malah ia juga turut memperolehi habuannya di dunia. Firman Allah: Maksudnya:

“Sesiapa yang beramal saleh dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik”. ( An-Nahl: 97)

Wanita juga sebagaimana yang selalu disebut adalah sebahagian daripada masyarakat. Adalah suatu yang tidak logik jika Islam membantutkan separuh daripada masyarakatnya sendiri, menghukumnya sebagai kolot atau tidak berkeupayaan dan mengabaikan hak- haknyanserta mengeksploitasi kebaikan yang ada padanya tanpa memberinya sesuatu yang positif.

Sesungguhnya tiada lagi pekerjaan yang lebih utama dan agung bagi wanita selain daripada mendidik generasi. Tugas terssebut tidak ada seorangpun yang menyaingi atau cuba merampas daripadanya.

Untuk memikul tugas tersebut, Allah (s.w.t) telah memperlengkapkan wanita dengan persiapan fizikal dan juga spiritual. Dengan sebab itu adalah tidak wajar bagi wanita untuk menyibukkan tugasnya yang besar itu dengan material dan juga perkara- perkara lain walau apa sahaja keadaan sekalipun. Tambahan pula tiada seorang pun yang dapat mengambil alih tempat wanita untuk melaksanakan tugas yang sangat besar ini. Apatah lagi generasi kecil itu merupakan penentu kepada masa depan sesuatu ummah di samping ia sendiri merupakan sebesar- besarnya aset kepada manusia ( human resources). Kerja- kerja wanita yang lain termasuklah memelihara rumahnya, menggembirakan suaminya serta membentuk sebuah keluarga bahagia yang berdiri di atas asas ketenangan dan juga kasih sayang. Di dalam suatu hadis dinyatakan bahawa wanita melayani suaminya, maka perbuatannya dikira sebagai jihad fi sabilillah.

Ini tidaklah bermakna bahawa pekerjaan wanita diluar rumah itu adalah haram. Tanpa nas syarak yang benar- benar sahih serta jelas hukumnya, seorang tidak boleh untuk mengharamkan sesuatu perkara. Ini kerana asal kepada sesuatu perkara atau tindakan adalah harus. Berdasarkan asas inilah kami menyatakan bahawa:

Pekerjaan wanita pada zatnya itu adalah harus; kadang- kadang ia menjadi harus dan kadang- kadang pula ia menjadi wajib terutamanya jika di dalam keadaan yang benar- benar memerlukan si wanita itu bekerja. Antaranya janda atau wanita- wnita yang diceraikan dalam keadaan berharta dan sebatang kara, akan tetapi ia mampu untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang dapat menahannya daripada meminta- minta.

Kadang- kadang keadaan keluarga itu sendiri yang memerlukan wanita untuk bekerja seperti membantu suaminya memelihara anak-anaknya ataupun saudaranya yang kecil dan membantu bapanya yang telah tua sebagaimana kisah yang disebut di dalam surah al- Qasas mengenai dua orang anak nabi Syuaib yang telah membantu bapanya mereka memelihara kambing. Firman Allah: Maksudnya:

“Mereka menjawab: ” Kami tidak memberi minum (kambing- kambing) sehingga penggembala- penggembala itu membawa balik binatang ternakan masing- masing, dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.” (Al- Qosos: 23)

Begitu juga Asma’ binti Abu Bakar yang digelar ” empunya dua tali pinggang” turut membantu suaminya iaitu Az- Zubair bin al- ‘ Awwam memelihara kudanya, menyiram tamar malah dia sendiri yang menjujung air di atas kepalanya daripada kota Madinah hinggalah sampai ke kebunnya.

Kadang- kadang masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti menjadi jururawat ataupun doktor kepada kaun sejenisnya, mendidik dan tugas- tugas lain yang khusus bagi wanita. Ketika melaksanakan tugasnya itu, adalah lebih baik jika dia hanya bergaul dengan kaum sejenisnya dan bukan dengan kaum lelaki. Ini kerana lelaki hanya dibenarkan mendapatkan khidmat daripada wanita di dalam keadaan dhorurah sahaja.

Kebenaran itupun adalah terhad pada perkara yang berkaitan dengan keperluan sahaja. Sekiranya kami katakan bahawa harus bagi wanita untuk bekerja, maka keharusan itu hendaklah terikat dengan beberapa syarat:

Pekerjaan yang hendak dilakukan itu sendiri adalah kerja yang halal. Atau dengan kata lain ia bukanlah kerja yang haram atau yang boleh menjerumuskannya ke jurang maksiat. Antaranya menjadi orang gaji kepada lelaki yang masih bujang, menjadi setiausaha kepada mana- mana Pengarah yang dalam banyak keadaan menuntutnya untuk duduk bersunyi- sunyian dengannya, menjadi penari yang kerjanya adalah membangkitkan nafsu, menjadi pelayan bar yang menghidangkan arak di mana Rasulullah (s.a.w) telah melaknat orang yang menghidang, membawa dan menjualnya, menjadi pramugari yang antara tugasnya ialah menghidangkan arak di samping terpaksa bermusafir dan menginap di negara orang yang terlalu asing tanpa di sertai dengan muhrimnya dan apa sahaja kerja yang diharamkan kepada wanita khususnya dan yang diharamkan kepada kedua- duanya; lelaki ataupun wanita.

Dia hendaklah memelihara adab sebagai seorang wanita Muslimah sama ada di sudut cara berpakaian, berjalan, bercakap dan sebagainya. Firman Allah: Maksudnya:

“Dan katakanlah perempuan- perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka( daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”… ” Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Al- Ahzab: 32)

Kerjanya itu tidak menjejaskan kewajipan- kewajipannya yang lain. Ini termasuklah kewajipan terhadap suami dan juga anak- anak. Ini kerana tanggungjawab terhadap keduanya merupakan kerja yang utama.

Wabillahi taufiq.

Isnin, 10 Mei 2010

BERSYUKURLAH DAPAT JADI GURU

SEJAK kebelakangan ini, banyak sungguh rungutan daripada mereka yang bergelar guru. Ada sahaja yang tidak puas hati terhadap apa yang dinikmati sekarang.

Bermula dengan isu guru penat mengajar, guru teraniaya, guru tersiksa mengajar di kawasan pedalaman dan entah apa-apa lagi, setiap rungutan dipaparkan bagi meraih simpati kerajaan dan orang ramai.

Meneliti setiap rungutan yang dipaparkan oleh media, nampaknya guru sekarang terlalu berkira dan tidak lagi ikhlas bekerja demi agama, bangsa dan negara.

Pepatah, guru menerangi kehidupan orang lain tidak lagi sesuai dipraktikkan kerana segala apa yang dilakukan guru sekarang, mereka mahukan pembalasan sama ada gaji lebih, elaun lebih dan lain-lain.

Jika itulah rungutan guru sekarang, cuba fikirkan tentang rakan penjawat awam atau swasta lain yang sesetengahnya bergaji jauh lebih rendah, walaupun memiliki kelulusan akademik yang sama.

Kalau tak sanggup pikul tugas sebagai guru, lebih baik letak jawatan agar murid dan pelajar tidak menjadi mangsa guru yang terlalu berkira dan tidak ikhlas bekerja.

PENOREH GETAH

Jeli, Kelantan

Sumber : Ruangan Forum Utusan Malaysia Online

Khamis, 6 Mei 2010

Kuasa Nuklear: Bersediakah Rakyat Malaysia Menghadapi Cabaran ?


Persoalan keperluan tenaga nuklear menjadi tanda tanya orang ramai pada hari ini akan keperluannya. Kebimbangan terhadap radiasi akibat kebocorannya menyebabkan sumber tenaga ini dinafikan kebaikannya yang sebenarnya menyumbang tinggi kepada alam sekitar. Tenaga Nuklear jika dikendalikan dengan betul adalah satu sumber tenaga yang selamat dan menjimatkan serta mampu memelihara alam sekitar dengan sumber kewangan yang rendah. Penggunaan nuklear yang efisien dan selamat sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan tenaga biojisim sepertimana yang kita amalkan kini. Rakyat Malaysia umumnya menyangkakan bahawa sumber tenaga elektrik negara kita bersumber dari kuasa hidro melalui empangan-empangan besar yang dibina seperti Empangan Chenderoh, Kenyir dan sebagainya. Namun hakikat dan faktanya sumber-sumber tenaga dari empangan ini hanyalah sekitar kurang dari 20% sumber tenaga elektrik negara dan bakinya adalah datang dari tenaga elektrik yang dijanakan menggunakan arang batu. Bayangkanlah kita semua maklum bahawa sumber arang batu merupakan sumber yang terhad. Kajian yang dilakukan ada yang berpendapat sumber ini mungkin akan bertahan sekitar 30 ke 40 tahun akan datang. Untuk itu, pihak Jabatan Bekalan Elektrik dan Tenaga Nasional Berhad telah mengkaji beberapa alternatif untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang timbul akibat ketiadaan arang batu nanti. Perbagai altenatif yang dicadangkan termasuklah mengenalpasti tempat-tempat yang berpotensi untuk dimajukan kuasa elektrik yang bersumber dari tenaga angin mahupun solar. Namun demikian, negara kita didapati tidak sesuai untuk mengaplikasikannya disamping kadar elektrik yang terhasil masih rendah. Bayangkan banyaknya empangan-empanagn hidro yang besar di negara kita ini pun masih hanya kurang dari 20% sahaja elektrik yang disumbangkannya. Sekitar tahun 90-an dahulu, kerajaan pernah mencadangkan agar dilaksanakan sebuah empangan terbesar hidro negara di Bakun, Sabah. Namun pembinaannya mendapat tentangan hebat daripada pihak-pihak alam sekitar di dalam dan di luar negara. Impak keatas pembinaan empangan terbesar tersebut telah mengorbankan berjuta-juta spesis flora dan fauna yang perlu dipelihara menyebabkan skala pembinaannya dikecilkan. Mungkin jika projek asal dilaksanakan pun masih tidak mampu untuk menampung keperluan elektrik negara. Kos bahan api seperti arang batu sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Sebab itulah kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi ke atas TNB untuk menjana elektrik melalui arang batu. Peningkatan tarif elektrik tentunya amat membebankan rakyat. Justeru satu kajian dan sumber alternatif baru yang selamat, murah dan mesra alam perlu dicari. Hasilnya, kerajaan telah dicadangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab agar mempertimbangkan sumber tenaga nuklear untuk diguna pakai. Sebenarnya sumber tenaga nuklear adalah sama seperti sumber-sumber tenaga yang lain. Pengeboman Nagasaki dan Hiroshima telah meninggalkan kesan mendalam pada sejarah manusia agar menjauhi sumber tenaga atom dan nuklear. Penggunaan nuklear sebagai senjata perang sememangnya patut tidak dibenarkan sebaliknya penggunaannya untuk kebaikan dan kemajuan sains dan teknologi sepatutnya dipertimbangkan. Nuklear bukanlah satu yang merbahaya jika digunakan dengan betul. Ibarat pisau dirumah jika digunakan untuk memotong ketika memasak bukankah ia amat penting dalam memudahkan kerja sebaliknya tentulah merbahaya jika ia digunakan untuk membunuh. Masyarakat barat sering mengkaji dan meneliti bagaimanakah kebaikan sesuatu dapat diguna pakai dan inilah yang berlaku. Jika benar nuklear amat merbahaya dan amat memudaratkan tentulah tiada satu pun negara di dunia ini sanggup menggunakannya. Namun, mentaliti negara maju tidak sedemikian. Justeru perbagai negara telah cuba menceburi bidang ini. Di negara kita Agensi Nuklear Malaysia ditubuhkan sejak 1972 lagi. Sebenarnya sebuah logi nuklear bagi tujuan penyelidikan telah pun dibina di negara kita sejak tahun 1982. Penggunaan tenaga nuklear bukanlah baru. Justeru kebimbangan tahap keselamatan yang menyebabkan kebocoran serta radiasi sepatutnya bukanlah menjadi isu yang membantutkan penggunaannya. Jika ia alternatif terbaik maka barangkali ia boleh dipertimbangkan. Negara-negara luar kini mula menyedari kepentingan nuklear dalam pembnagunan negara. Sebab tulah Iran mula mengaplikasikannya namun dipolitikkan oleh sebahagian besar dunia eropah agar Iran tidak dapat memperolehi kemajuan yang pesat akibat pembangunan tenaga tersebut. Sedangkan di negara-negara eropah yang lain, nuklear sudah tidak menjadi isu lagi. Keselamatan negara perlu dipertingkatkan dengan setinggi-tingginya bagi mempastikan logi nuklear ini tidak menjadi sasaran musuh. Untuk pembinaannya, negara bukan sahaja memerlukan pakar-pakar yang hebat malah perlu juga mempastikan tahap integriti pasukan keselamatannya serta kemampuan pertahanan yang tinggi agar penggunaannya tidak menjadi senjata musuh dalam menakluki negara kita. Saya percaya, kemampuan saintis-saintis negara telah bersedia untuk menghadapi cabaran itu. Sekarang cuma tahap integriti, keselamatan negara dan kesedaran rakyat perlu dipertingkatkan agar teknologi ini dapat direalisasikan.
wallahua'lam



Kuasa nuklear: Kebimbangan orang ramai diambil kira

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan akan mengambil kira kebimbangan orang ramai terhadap cadangan membina loji janakuasa nuklear di negara ini sebagai satu sumber tenaga yang baru pada masa depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, aspek keselamatan yang dikhuatiri oleh orang ramai itu akan diperhalusi dengan teliti melalui kajian pembinaan loji jana kuasa nuklear tersebut.

Bagaimanapun, katanya, isu keselamatan itu terlalu awal untuk diperkatakan kerana pembinaan loji tersebut masih di peringkat kajian.

"Masih terlalu awal untuk membincangkan tentang aspek keselamatan kerana laporan kajian berkaitan belum dikeluarkan lagi. Malah kita juga belum memutuskan lokasi tapak pembinaan loji jana kuasa nuklear itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Peter mengumumkan Malaysia akan memiliki loji jana kuasa nuklear pertama pada 2021 bagi menampung peningkatan penggunaan bekalan tenaga pada masa depan.

Menurutnya, rancangan pembinaan loji jana kuasa nuklear pertama di Asia Tenggara itu telah mendapat keizinan daripada Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN).

Dalam pada itu, katanya, bekalan tenaga yang ada setakat ini masih mampu menampung permintaan pengguna di negara ini.

Namun, tegasnya, pembinaan loji jana kuasa nuklear merupakan pelan untuk jangka masa panjang kerana ia dirancang demi kepentingan masa depan negara supaya kerajaan berupaya menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Rancangan ini bukan untuk satu atau dua tahun depan sahaja, tetapi ia adalah pelan masa depan Malaysia untuk menampung permintaan bekalan tenaga pada 2021 dan selepas itu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Fizik Gunaan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khoo Kok Siong berkata, kerajaan telah mengambil langkah tepat dengan cadangan loji janakuasa nuklear itu bagi membantu perkembangan negara.

Jelasnya, penjanaan nuklear akan membantu membangunkan negara ini dengan pesat berbanding penjanaan alternatif lain dan ia merupakan pilihan yang tidak dapat dielakkan.

"Kita harus belajar daripada Korea Selatan yang ekonominya jauh di belakang kita selepas perang pada 1950 tetapi selepas menggunakan penjanaan nuklear pada 1970-an, kini ia telah mencapai taraf kehidupan tinggi dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD20,000 (RM64,660) pada 2008," katanya.

Tambahnya, dengan adanya bekalan tenaga yang murah, ia juga menyebabkan proses industrialisasi di negara ini turut berkembang dengan pesat.

Rabu, 5 Mei 2010

Mari Mengenali Ulama':Sheikh Idris al Marbawi


Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi adalah seorang ulamak besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malahan di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.
Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu pada tahun 1913 bersamaan tahun 1333 Hijrah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Allahyarham Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok di Kuala Kangsar, Kedah, Bukit Mertajam dan Kelantan.

Sejak dari kecil lagi, al-Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-Quran. Ketika berusia 10 tahun juga, beliau telah mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk Al Quran di samping beberapa buah kitab lain.

Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok-pondok yang merupakan institusi pendidikan Islam yang terpenting di alam Melayu pada ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.
Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Lalu, pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al-Azhar.

Al-Marbawi di Mesir

Di Mesir, beliau menggondol kejayaan yang membanggakan dengan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti al-Azhar. Sebenarnya al-Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.
Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.

Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.

Sumbangan Karya al-Marbawi

Karya-karya al-Marbawi yang dihasilkan adalah melebihi 20 buah buah dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Ini sekaligus membuktikan al-Marbawi dalam pengajian ilmu-ilmu Islam.Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab-Melayu berbanding disiplin ilmu yang lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerah Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang diberikan oleh beliau dalam bidang persuratan Arab-Melayu.

Selain kamus Arab-Melayu, al-Marbawi juga telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadith. Antara tulisan beliau dalam bidang ini ialah Bahr al-Madhi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmidhi. al-Marbawi juga turut menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kitab Bulugh al-Maram iaitu sebuah karya hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh Hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Dua karya dalam bidang hadith berbahasa Melayu ini ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama’ Nusantara.
Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.

Selain bidang tersebut, al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi. Sheikh Muhammad Idris al Marbawi telah banyak menghasilkan ulama' ternama tanahair yang mana antara muridnya yang terkenal kini adalah Prof. Dato' Dr.Haron Din

Kamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi

Kitab yang paling tersohor yang telah dihasilkan oleh al-Marbawi ialah Kamus Arab-Melayu dan kitab Bahrul Mazi. Kedua-dua kitab ini digunakan sehingga ke hari ini. Antara keistimewaan kedua-dua hasil karya beliau ini adalah seperti berikut:-

1.Kamus al-Marbawi

Kamus ini merupakan kamus dwibahasa Bahasa Arab –Bahasa Melayu. Ia disusun dalam 2 jilid, iaitu jilid yang pertama bermula daripada huruf alif sehingga za'. Manakala jilid yang kedua bermula daripada huruf `ain sehingga ya'. Kamus ini mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.
2. Kitab Bahrul Mazi
Kitab Bahr al-Mazi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pengajian Hadith di Malaysia. Bahr al-Mazi ialah kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.


Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al-Marbawi mengikut acuan dan suasana masyarakat Malaysia. Karya ini memberikan nafas baru kepada pemahaman hadith-fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang hubungan yang earat antara kedua-duanya.

Anugerah Yang Diterima Oleh al-Marbawi

Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada tanggal 5 Julai 1980, atas usaha Prof. Dato’ Dr Haron Din, pihak senat universiti telah bersetuju agar Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada enam tahun berikutnya iaitu pada pada 1 Muharram 1408H beliau dinobatkan pula sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah.

Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu dan sumbangan al-Marbawi apabila beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak

Selasa, 4 Mei 2010

Haron Din Tumpaskan Mubaligh Angguh


Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya. Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar pula kepada siaran TV1 . Kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato’ Dr. Haron Din.
Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang­an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: “Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran.”
Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu akhirnya bertekad untuk ber­jumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi ‘masalahnya’ semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; “Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
“Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
“Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?”
Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: “Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir.”
“Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam,” jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
“Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan berbalah dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,” jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
“Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab­kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.
“Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu,” tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
“Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din,” kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. “Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.
“Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.
“Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini,” ujarnya bersungguh­sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Sejarah Ringkas:Bahagian 1 (Sambungan)

Kesimpulan
Hasil daripada bahan sejarah yang dihidangkan, sebenarnya fakta-fakta sejarah itu benar namun dimanupulasikan agar ia dilihat cenderung atau lebih berpihak kepada sesebuah pihak. Jika semasa pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu dahulu, tentu sahaja Tok janggut dilabelkan sebagai pengganas, militan atau apa sahaja yang bersifat negatif. Namun, hakikatnya tidak sedemikian. Selepas negara kita merdeka. Nama-nama ini ditukar menjadi hero bangsa dengan tulisan yang lebih terbuka. Sejarah bangsa sebenar mula diperkenalkan, namun tulisan-tulisannya masih tidak ditulis dengan lengkap dan tinggal dalam lipatan sejarah yang hanya diperolehi buat mereka yang mengkaji dan meminatinya.
Memang sunnah, mereka-mereka yang berjuang dengan kebenaran yang mana perjuangan mereka beretentangan dengan pihak berkuasa atau mereka yang berkuasa, kelompok ini seringkali dicop sebagai pengganas atau apa-apa sahaja cop yang mengaibkan sebaliknya kelompok yang bersekongkol dengan penguasa dicop sebagai hero. Inilah yang dilakukan oleh Inggeris semasa era penjajah. Melabelkan pejuang-pejuang agama dan bangsa Melayu sebagai pengganas kerana menentang mereka dan label-label ini bertukar semasa era kemerdekaan. Parlebelan ini dilakukan dengan mainan kelompok pemerintah untuk membodohkan rakyat demi menjaga kepentinggan mereka. Nabi junjungan kita turut dilabel sedemikian. Sejarah mengertahui dan mencatitkan Muhammad sebagai insan yang sangat mulia dikala lahirnya...dikala kecilnya turut dilabel pengganas dan pemecah belah masyarakat hanya dengan tindakannya membawa agama dan ajaran Islam yang rahmat. Baginda diduga dengan sejuta dugaan yang akhirnya membawa kepada peperangan.
wallahua'lam

Selasa, 27 April 2010

Sejarah Ringkas:Bahagian 1

Sejarah Negara kita telah dilakarkan dengan perbagai rencah dan ragam. Tanah Melayu, satu ketika dahulu dikatakan terkenal dengan pelabuhan antarabangsanya yang memungkinkan proses asimilasi budaya berjalan dengan lebih rancak. Sebelum kewujudanya tanah ini tentunya didiami oleh penduduk asli yang mengamalkan kepercayaan animisme. Namun, kehadiran penduduk Melayu sedikit sebanyak mengubah segalanya. Sungguhpun bangsa Melayu pada ketika itu turut mengamalkan kepercayaan tersebut, namun kehadiran penjajahan demi penjajahan di nusantara akibat serangan daripada kerajaan Majapahit serta kewujudan-kewujudan kerajaan awal di Tanah Melayu telah merancakkan proses perubahan ini. Kerajaan-kerajaan yang menjajah seringkali membawa agama dan isme-isme mereka lalu bertapaklah kepercayaa hindu dan budha. Kehadiran bangsa Melayu ke semenanjung juga punyai teori yang berbagai. Ada yang mendakwa Bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar China dan ada pula mendakwa ia berasal daripada kepulauan-kepulauan di Indonesia. Apapun hujahnya, kehadiran bangsa keatas sesuatu tempat yang baru seringkali mewujudkan sikap etnosentrisme. Sikap sebegini akhirnya membentuk sikap penjajahan yang akan menerapkan nilai-nilai budaya dan kepercayaan dalam sesuatu masyarakat. Biasanya pengembangan agama-agama di dunia dilakukan melalui penjajahan. Namun bagi agama Islam, pengembangan tidak semestinya berlaku akibat penjajahan semata malah ia turut berlaku dalam penjelajahan daripada golongan agama dan para pedagang ke serata dunia.
Rasullullah pernah bersabda dengan maksudnya ”Agama rakyat bergantung kepada agama pemerintah”. Sabdaan ini amat bertepatan sekali apabila Islamnya Parameswara yang memerintah Melaka pada masa itu telah membawa kepada pengembangan fahaman Islam ke atas rakyat Melaka dan Tanah Melayu pada masa itu. Pemerintahan Siam yang mengamalkan agama Budha tetantunya amat tidak senang dengan agama para penduduk di Selatan Thailand sehingga berlakunya pembunuhan berdarah sehingga kini. Benarlah sabdaan baginda. Para pemerintah memainkan peranan penting dalam sesebuah fahaman dan rakyat umumnya hanya akan menuruti (mejoritinya) apa-apa slogan, fahaman, agama yang dibawakan oleh pemerintah.
Wujudnya Tanah Melayu dengan aman dan damai telah dicemburui oleh Barat yang melihatnya sebagai Pusat Pengembangan Islam di Nusantara. Sikap etnosentrisme yang ada pada penjajah barat beserta misinya Gold, Glory & Gospel menjadikan sikap mereka lebih tamak lagi dalam menjajah Tanah Melayu dikeranakan semua misinya ini akan tercapai melalui penaklukan Tanah Melayu yang merupakan Pusat Perdagangan Antarabangsa dan Pusat Penyebaran Islam. Tempat yang stategik ini amat penting buat British dalam merialisasikan wawasannya. Justeru, British dengan kecerdikannya tidak melakukan penjajahan ini melalui kapal perang sebaliknya melakukan dengan lebih terancang melalui syarikat-syarikat perdaganggan seperti Syarikat Hindia Timur Inggeris. Persaingan penjelajahan dan penjajahan antara British dan Belanda menyebabkan kedua-dua syarikat perniagaan tersebut terus berlumba antara satu sama lain. Penjajahan Inggeris melalui syarikat perdagangannya dilakukan di Tanah Melayu sedang penjajahan Belanda dilakukan di kepulauan Indonesia.
Inggeris cuba menakluki Tanah Melayu dengan penuh keberadapan dengan melakukan dan membawa imej baik kepada para penduduknya. Inggeris menawan hati raja-raja Melayu yang memerintah ketika itu dengan membawakan perbagai kebaikan dan pembangunan. Jika dilihat dari persektif yang positif, kedatangan British ke Tanah Melayu telah memangkinkan perbagai pembangunan teknologi dan ekonomi buat negara. Namun, perkembangan ekonomi dan teknologi yang dibawa ke Tanah Melayu bukan untuk penduduk ini tetapi hanya untuk mencapai kekayaan British semata-mata. Penaklukan British yang dilakukan dengan penuh teliti ini menyebabkan perbagai kuasa pemerintah Tanah Melayu ini kian terurai sedikit-demi sedikit tanpa disedari. Dasar Ekonomi British yang menginginkan keuntungan besar-besaran memandangkan permintaan Bijih Timah yang tinggi pada masa itu telah menyebabkan migrasi orang-orang Cina ke Tanah Melayu. Masyarakat dan pembesar Melayu ketika itu tidak menyedari bahaya migrasi besar-besaran tersebut. British tidak menggunakan tenaga kerja Melayu barangkali bimbang hasratnya menakluki negara ini diketahui. Ini kerana jika tenaga kerja untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah terdiri daripada masyarakat tempatan, tentunya masyarakat tempatan merasakan diri mereka diperhambakan oleh British dan dibimbangi akan menjadi penyebab keatas penentangannya. Justeru, British membawa masuk orang-orang Cina agar orang-orang Melayu terus lena dengan kuasa kebanggan mereka. Migrasi bukan sahaja berlaku dari kalangan orang-orang Cina malah turut membabitkan orang-orang India yang mana dasar jus soli yang dilakukan ini telah membawa kejayaan kepada British dalam menakluk Tanah Melayu. Sesetengah buku-buku sejarah menyatakan penjajahan Tanah Melayu bermula dengan kehadiran Penasihat-Penasihat (Resident) Inggeris ke Tanah Melayu sedang sebenarnya kehadiran Inggeris itu sendiri telah membawa kepada permulaan penjajahan tersebut. Ini kerana kehadiran mereka bukanlah untuk berdagang tetapi dengan niat untuk menjajah negara ini. Kehadiran penasihat-penasihat Inggeris ini sebenarnya menguatkan lagi penguasaan mereka. Inggeris amat mengetahui budaya dan agama sesuatu bangsa umumnya tidak harus dicampuri, justeru dalam usaha menakluk dan berkongsi kuasa secara tehormat, British menawarkan khidmat nasihat (yang wajib dipatuhi) oleh raja-raja Melayu kecuali hal ehwal yang melibatkan agama dan adat budaya Melayu sahaja. Pentadbiran British di Tanah Melayu ini akhirnya disedari juga oleh para pembesar Melayu yang akhirnya membawa kepada penentangan kepada Inggeris. Banyak teori-teori penentangan itu dikaitkan. Di Pangkor misalnya, pembunuhan Resident British J.W.W Birch di Pasir Salak menjadi satu tanda tanya. Bagaimana Resident yang tinggal di Pangkor ditemui mati di Pasir Salak pula. Penentangan-penentangan ini agak terlambat kerana British telah pun mengusai kesemuanya.Sejarah penentangan ke atas British ditulis dengan menyatakan golongan-golongan penentang seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Tok Sagor, Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya sebagai militan dan pengganas. Mereka ini dilabel oleh British dengan label yang negatif kerana sikap dan semanggat menentanggannya. Tentu sahaja label ini terlalu subjektif. Bagi golongan British, mereka tidak merasakan diri mereka salah malah mereka bangga dengan sikap penjajahan mereka. Mereka mendakwa kehadiran mereka adalah baik kerana ingin mengubah pemikiran dan cara hidup penduduk asal negara ini. Semangat ’Beban Orang Putih’(White Man Burden) atau merasakan tangggungjawab mereka untuk merencana atau mengubah cara hidup dan pegangan agama masyarakat setempat. Sebab itulah mereka turut membawa mubaligh dan gereja serta mewujudkan sekolah-sekolah aliran Inggeris. Sifat berasakan diri mereka betul dan bagus tanpa melihat dari kaca mata penduduk setempat menyebabkan mereka melabel para penentang mereka sebagai penjahat dan pengganas. Penialain yang sebaliknya pasti berlaku pada penduduk kampung yang merasakan nama-nama besar seperti Mat Saleh, Tok janggut dan sebagai sebagai Wira Melayu atau Pahlawan Melayu yang gigih mempertahankan Tanah Air daripada penjajah. Silibus sejarah dahulu dimuatkan dengan kisah-kisah pengganas mengikut kaca mata Inggeris yang bertujuan untuk menguatkan pentadbiran dan penguasaan di Tanah Melayu.



bersambung....

UTM sekali lagi diiktiraf organisasi terbaik R & D

KUALA LUMPUR 26 April - Kecemerlangan, kreativiti dan inovasi membolehkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi diiktiraf sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R & D) terbaik di negara ini melalui Anugerah Harta Intelek Negara 2010.

Universiti itu sebelum ini telah dua kali diiktiraf sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan terbaik melalui anugerah sama bagi kategori organisasi pada 2006 dan 2009.

Ia ekoran usaha berterusan UTM dalam menggalakkan penyelidiknya mempergiat aktiviti penyelidikan yang memberi penekanan kepada penghasilan harta intelek dan pengkomersialan produk.

Anugerah yang dimenangi bagi kali ketiga itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Naib Canselor UTM, Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2010 di sini hari ini.

Sebagai penerima anugerah itu, UTM membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil penghargaan.

Anugerah tersebut turut mengiktiraf individu dan pelajar atas sumbangan harta intelek mereka dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Pensyarah Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim dinobat sebagai pemenang utama kategori 18 tahun ke atas bagi anugerah tersebut kerana mencipta kaedah kegunaan industri dalam Sains Kimia.

Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, empat pelajar Sekolah Menengah Teknik Slim River, Perak iaitu Mohd. Faris Mohd. Redzuan, Muhammad Ridzwan Akoailah, Ahmad Rejab Abd. Rahim dan Mohd. Hazrul M. Najib pula menjadi pemenang utama anugerah itu bagi kategori bawah 18 tahun.

Mereka yang menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan diiktiraf kerana berjaya mencipta sejenis bahan binaan yang mesra alam.