Isnin, 3 Oktober 2011

Assalamualaikum...

Assalamualaikum...wah lama sungguh rasanya saya bercuti dari mencoretkan tulisan-tulisan di blog ini...Sibuk sungguh rasanya. Pada O.C yang rajin cl saya tanya kan kenapa tak tulis dah dalam blog...ha ha...insyallah saya akan sambungkan balik coretan saya...

Khamis, 17 Mac 2011

Inginkan Ulama Malaysia -Satu Ulasan dan Pandangan


Tulisan A.F Us zaharuddin b. Abd Rahman berkenaan perkara diatas barangkali terdapat kebenarannya. Terutamanya pandangan beliau agar perancangan yang tersusun perlu diwujudkan untuk menghasilkan ulamak terbilang. Pelajar-pelajar pintar dan terbaik eloklah dipilih dan dilatih dengan ilmu-ilmu Islam. Dewasa kini, terdapat segelintir ibubapa yang hanya menghantar anak-anak ke aliran agama mahupun pondok apabila mendapati anak-anak mereka gagal dalam akademik di sekolah aliran biasa. Malah lebih parah lagi apabila anak-anak ini punyai masalah akhlak yang tinggi sehingga mencemarkan nama baik sekolah agama dan pondok. Ini merupakan masalah yang saya sendiri lihat sewaktu melawat ke beberapa sekolah aliran arab (ma'ahad) dan pondok (madrasah) di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Memanglah..menghantar anak ke aliran agama setelah melihat kegagalannya dalam akademik di sekolah aliran biasa satu inisiatif yang baik, namun, diri anak-anak tersebut perlu punyai minat dan iltizam yang tinggi untuk menerima ilmu. Jika anak-anak tersebut tidak berminat dan sememangnya 'bermasalah' maka amat sukar untuk difahamkan malah ianya menjadikan beban buat para ustaz dan ustazah untuk mendidiknya pula...lebih malang lagi sekolah pondok tersebut kelak akan dilabel dengan label yang buruk akibat sikap dan akhlak para pelajarnya yang bermasalah. Saya juga faham, terdapat juga ustaz yang gagal mendidik anak muridnya akibat gagalnya ustaz menunjukkan contoh yang baik pada pelajar. Disinilah kekuatan aliran pondok khususnya di Pantai Timur dimana guru-guru disana sangat menitik beratkan akhlak dan pengamalan. Tulisan ini berdasarkan pengalaman dan kesempatan saya berada di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bahru (Madrasah al Bakriah)
Namun, sebenarnya di Malaysia, kita juga punyai ulama yang pakar sungguhpun bilangannya amat sedikit. latarbelakang ilmu para ulama kita seperti Prof Dato Dr Haron Din dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak kurang hebatnya. Dato Dr Haron Din merupakan pemegang Ijazah Sarjana (Master Syariah) Kelas Pertama (Mumtaz) dari Universiti Al-Azhar selain Pemegang Ijazah pHD Syariah juga kelas terbaik. Demikian juga latarbelakang ilmu yang mantap dipunyai oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendalami keperbagaian disiplin ilmu Islam diperbagai negara seperti Mesir, India dan Pakistan.
Namun, dalam pandangan Us Zaharuddin Abdul Rahman ini, situasi yang beliau sebutkan dalam tulisan BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT barangkali perlu difokuskan dan dimuhasabah oleh para dae' agar mari kita sama-sama berlapang dada agar sikap tersebut tidak merosakkan akhlak yang sepatutnya ditunjagi oleh para pelajar lulusan agama tidak kira di universiti mana yang ia pelajari.
Tulisan Us Zaharuddin berkenaan Pecah Kerana Universiti juga merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya terjadi pada mereka yang berada dalam aliran agama. Ini kerana dimanapun kita belajar...sesungguhnya yang paling baik adalah mereka yang paling memahami dalam hal ehwal agama. Tidak guna jika kita berbangga dengan al Azhar...atau dengan Lulusan Jordan mahupun Syiria atau Universiti tempatan seperti UM dan UKM kalau kita merupakan lulusan yang tak PAHAM akan apa yang kita pelajari!! Sebenarnya KEFAHAMAN itu diberikan oleh Allah.Tentu sahaja orang yang faham akan agama ini akan memelihara setiap ruang lingkup agamanya dan akhlaknya. Cuba para pembaca renungkan kata-kata as Sheikh Idris al Marbawi yang susur galur ilmunya belasan tahun di Makkah dan Mesih apabila Sheikh pulang ke Malaysia...dilawatinya beberapa pondok-pondok pengajian di beberapa tempat sambil turut mengkagumi kefakehan Tuan Guru-Tuan Guru Pondok yang mengajah sehebat dan setaraf Tuan Guru dan ulama' di Mesir dan Makkah!!!
Menganggap lulusan itu dan ini sebagai lebih faqih menunjukkan mereka masih kurang faqih dalam agama ini!! Lihat sahaja tulisan-tulisan orang-orang tertentu mendabik dada aku lulusan Jordan...dimana ilmuku ini kononnya hebat...Jordan punyai sistem pengajian yang baik...maka dikutuknya mereka yang mengaji pondok sebagai jumud dan tiada pengembangan ilmu...Saya sendiri pernah membicarakan perihal sifat keegoan sesetengah ustaz ini...Pernah seorang Ustaz lulusan al-Azhar menyatakan demikian pada saya...amat menyokong pendapat seorang bekas mufti dan menyatakan kononnya lulusan al-azhar lebih baik daripada lulusan pondok...sedangkan tanpa dia sedari terdapatnya mereka yang lulusan lain pula turut mendakwa kononnya mereka lebih baik daripada al-Azhar!! Jika inilah yang berlaku...maka ilmu yang dipelajari sudah tidak mampu lagi mendidik diri...Bagaimanakah sang ustaz mampu untuk membentuk peribadi masyarakat...sedang ia telah gagal dalam ujian pertamanya??
Us Zahruddin jika dilihat merupakan lulusan UKM yang kemudiannya menyambung ke Jordan dan kini di UK. Barangkali cetusan tulisannya berdasarkan pengaalamannya...namun tanpa disedari terdapat juga kata-kata yang mirip pada kepuakan terhadap universiti...Sebenarnya...pada pandangan saya, Universiti mana pun...pondok mana pun yang pailing utama adalah kefahaman...kefahaman dalam agama ini mengajar kita tawadhuk dan merendah diri sebagai akhlak yang terpuji...gagal membentuk akhlak mewujudkan keegoan yang menghancurkan diri dengan berbangga dengan universiti sedang sifat demikian menunjukkan kegagalan memelihara iman. Sungguhpun Universiti terbaik...universiti yang punyai ramai ulama' lebih aula dipelajari agar haruman dan ilmuan dan akhlak para ulama dapat dicontohi namun tidak bermakna universiti lain harus dicaci. Jika al-Azhar tempat penghasilan ulama'. Yusuf al Qardhawi tentu sahaja darinya....bukankah untuk menjadi ulama' perlu diselusuri jalur perjalannya. Tidak perlu dirangkumkan Jordan, al-Azhar dan Madinah....dimana tempat dipelajari bukan isunya yang penting kefahaman dalam agama. Mungkin merangkumkan tempat pengajian salah satu idea yang baik tetapi ia tidak semestinya terbaik...demikianlah sebaliknya. Cadangan agar kaedah menghasilkan ulama dipilih daripada mereka yang cemerlang amat bertepatan sekali. Digarap pula dengan hafalan 30 juzuk al-Quran serta didalami ilmu-ilmu bahasa arab yang hebat!! dan diakhiri dengan ilmu Fiqh, Syariah dan Usuluddin yang mantap inilah rahsia ulama'-ulama' besar seperti Imam Syafie dan Maliki...serta ribuan para ulama' di dunia. Para ustaz kita hari ini kebanyakannya hanya mendalami satu bidang agama sedang ulama' hebat dunia mendalami perbagai bidang agama. Dikerana itulah mereka lebih faham dan tidak mudah mendabik dada....tidak timbul isu salah faham dalam agama sehingga ketahap caci-mencaci, hina -menghina yang mendatangkan perpecahan UMMAH. Wallahua'lam

Inginkan Ulama Malaysia

Berikut disertakan pandangan Us Zaharuddin Abdul Rahman berkenaan perkara tersebut. Insyallah saya ulas sedikit menurut pandangan saya kerana manusia itu sememangnya punyai pandangan berbeza.
Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.

Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.

Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.

PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ

Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.

Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.

Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.

Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.

PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG

Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.

Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

INGIN JADI ALIRAN MANA INI?

Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.

Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.

BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT

Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.

Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.

Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.

Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.

Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.

Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.
PECAH KERANA UNIVERSITI

Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.

Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.

Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.

Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.

Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.

Lulusan Jordan pula ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.

Sebahagian lulusan Yaman pula merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain

Sebahagian lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.

Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.

Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain. Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.

HASIL MASING-MASING RASA HEBAT

Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi, tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.

Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.

Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.

Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.

Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.

Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama dengan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.

LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN

Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.

Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan dari peringkat rendah atau menengah rendah.

NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif disediakan.

Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.

1. Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)

2. Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.

Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.

Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.

HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.

3. Peringat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.

Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.

HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.

4. Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.

Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.

Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.

Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi. Di musim cuti, jangan diizinkan peljaar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, tetapi perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru-guru di sana pula.

HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah, Yaman dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.

Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk pengajian Masters ( hanya 1 tahun) di Institut Pengajian Tinggi di UK ( seperti di Markfield Institue of Higher Education, UK), bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakat yang berbeza dari tanah arab, disamping menggarap metodolgi pengajian dan pemikiran di Negara barat. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.

Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.

Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkan kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.

Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti menjernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.

Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan agama di Negara kita. Bukan hanya dengan tujuan peringkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.

MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING

Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.

Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.

Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.

Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.

Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.

Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.

Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.

Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.

Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.

KESIMPULAN

Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.

Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.

Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeliling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.

Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.

Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.
Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Februari 2011
Sumber : zaharuddin.net

Isnin, 27 Disember 2010

Salam Tahun Baru Hijriah Untuk Semua!!!



Opss....dah nak masuk bulan Safar dah....laa...lama sungguh tak update blog ni...maklumlah akhir-akhir tahun ni sibuk betul...
Apa pun ana nak ucapkan tahniah buat semua dalam mengemudi bahtera kehidupan yang sementara ini. Moga-moga kehidupan kita pada hari ini lebih baik dari semalam dan demikianlah seterusnya.
Ana juga nak ucapkan tahniah kepada anak murid ana yang mengikuti kelas tuisyen yang ana lakukan kerana berjaya dengan cemerlang dalam UPSR yang lalu...Tahniah dan tahniah....
Sebenarnya ini kelas dan pengalaman pertama ana mengajar murid-murid sekolah dalam subjek UPSR. Ana buat kelas UPSR untuk kesemua subjek dan alhamdulillah mereka semua berjaya menunjukkan prestasi yang baik. 3 orang berjaya mendapat 5A, seorang 4A 1B dan selebihnya berjaya mendapat sekurang-kurangnya 2A!! satu pencapaian yang mereka dan ahli keluarga mereka tidak terduga!! Disebabkan anugerah Allah ini telah menyebabkan ana dihubungi oleh ibubapa untuk meminta anak mereka diajar pada tahun hadapan!!
maaf...ana terpaksa tolak sebahagian permohonan memandangkan ruang yang kecil. Moga-moga usaha kecil ini mendapat keberkatan disisi Allah hendaknya... Ada yang mohon ana ajar subjek PMR malah subjek Matematik Tambahan untuk SPM...tapi ana terpaksa tolak memandangkan fokus ana lebih kepada pelajar UPSR dan ditambah pula kekangan masa dalam perbagai perkara. Mungkin satu masa nanti ana akan buka untuk kelas-kelas yang diminta wallahua'lam

Khamis, 9 September 2010

Salam Aidilfitri


Salam aidilfitri diucapkan kepada semua pelawat blog ini khususnya pada mereka yang mengenali...maaf zahir dan batin.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Hari ini 17 Ramadhan yang banyak kenangan...

Alhamdulillah....hari ni merupakan hari ke 17 Ramadhan dan hari turunnya al-Quran di muka bumi ini dari Baith al Izzah. Berkebetulan juga ia jatuh pada hari Jumaat. Alangkah indahnya ramadhan pada kali ini.
Pada masa ini, negeri-negeri tertentu di negara kita akan meraikan hari ini dengan cuti umum. Sedang sebahagian yang lain tidak berbuat demikian sebaliknya cuti umum diadakan pada awal ramadhan.
Hari ini mengigatkan saya pada seorang sahabat yang saya kenali di Ma'had Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Perak satu ketika dahulu..Seorang sahabat dan adik angkat yang cukup wara' dan alim dengan ilmu agama... Dalam usia yang begitu muda beliau telah didekatkan dengan ilmu al-Quran. Yusuf namanya...Yusuf bukanlah berasal dari keluarga yang senang....namun kesusahannya tidak mematahkan semangatnya untuk menuntut ilmu Allah. Masa cuti semesternya dihabiskan dengan bertelaah serta menghafaz ayat-ayat Allah. Pada bulan ramadhan yang mulia ini seperti biasa dia turut serta mengimamkan solat tarawikh di surau mahupun masjid atas jemputan. Namun, pada tahun itu, keadaan tidak seperti biasanya. Yusuf amat menjaga percakapan dan pandangan matanya. Selaku pelajar tahfiz, beliau tidak senang dan tidak akan melihat wanita yang tidak menutup aurat. Setiap minggu saya akan menziarainya. Disebabkan kecerdikan dan kewara'kannya...Yusuf telah dilantik menjadi ketua pelajar di Ma'had tersebut.
Saya sangat suka bergaul dengan Yusuf...akhlaknya amat jelas dengan perwatakan baik dan ikhlasnya dalam beragama. 16 Ramadhan...saya menghubungi Yusuf...bertanyakan khabar beritanya serta aktiviti hariannya... Setelah berbual panjang, Yusuf bertanya :-
Anta bila balik ?? Saya jawab: Esok ana baliklah...esokkan cuti...insyallah boleh kita jumpa di Masjid Negeri...Balas saya...Masjid Negeri adalah tempat mingguan perjumpaan kami selain di Ma'had. Yusuf terdiam...seketika dia membalas "InsyaalLah...tengoklah nanti....."
17 Ramadhan....hari cuti itu saya ke Masjid Negeri...selepas selesai solat jumaat...seperti biasa saya menunggu kehadiran Yusuf...tapi Yusuf tidak juga datang...keadaan masa itu agak redup dan akhirnya hujam mula turun dengan perlahan-lahan.. Yusuf tak datang kot...esok sahajalah saya ke Ma'ahad...balasku lagi...
18 Ramadhan....jam 8.00pg...telefun berbunyi dengan kuat sekali..
Pada paparan telefon tertulis nama Suhaidy...pelajar Ma'ahad menghubungi ku.
Assalamualaikum...
waalaikumussalam...ya ada apa sheikh??
Abang Raihan...ana lupa nak bagi tahu anta...
Bagi tahu apa ???
Anta tahu Yusufkan ??
Ya...kenapa ??
Yusuf dah kembali kerahmatullah semalam...selepas solat jumaat...
Innalillahi wainna ilaihi rojiunn...
Dimana?
Dia meninggal di Ma'ahad...kebumi malam tu jugak di kampungnya...Sheikh Mohd Noor Imamkan....
Terharu sungguh mendengar berita pemergiannya...Menurut Su, selepas disahkan meninggal, jenazah terus dimandikan dan disolatkan di masjid berdekatan...3 kali jenazah disolatkan sebelum dihantar ke kampungnya. Setelah sampai di kampungnya..ibubapanya bercadang untuk mengebumikan pada esok pagi, namun atas nasihat Sheikh Mohd Noor, jenazah akhirnya dikebumikan pada malam itu juga dengan beberapa siri solat jenazah sempat diadakan.
Su menjelaskan beberapa perubahan kelakuan Yusuf sebelum pemergiannnya disamping Yusuf sempat menghabiskan hafalannya sebanyak 30 juzuk pada hari khamis 16 Ramadhan tersebut.. Yusuf becita-cita untuk me al azhar secepat mungkin...namun habuannya Allah kurniakan kelebihan disaat pemergiannya...
Meninggal pada bulan ramadhan adalah satu nikmat dan perhormatan yang amat tinggi malah pemergiannya bukan sekadar pada bulan ramadhan ditambah pula pada hari jumaat dimana bagi mereka yang dikurniakan nikmat tersebut mendapat kerehatan daripada siksaan kubur. Yusuf diberikan lagi kenikmatan dan penghargaan dari Allah apabila beliau pergi dalam usia yang muda serta sempat menghafaz 30 juzuk al-Quran. Cuti umum serta tarikh 17 Ramadhan memudahkan lagi urusan keluarganya ditambah pula puluhan hafiz mendoakannya...Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat amin ya rabbal alamin...

Ingatan buat Yusuf Hamdan.
al Fatihah.

Khamis, 12 Ogos 2010

Salam Ramadhan


Salam Ramadhan buat semua. Moga Ramadhan pada tahun ini lebih bermakna buat kita semua. Terima kasih kepada Abg Tam, OC, Us Adiy, Abg Man dan semua yang sudi menjemput saya pada Kem Pemantapan Solat 7.08.2010 yang lalu. Mohon maaf dipinta atas segala kelahan dan kesilapan terhadap semua. Moga berjaya hendaknya kita dalam memperbaiki diri sempena bulan yang mulia ini... Amin