Konvoi Lifeline4Gaza dari Malaysia selamat berlepas ke Turki jam 12.30 tengah malam tadi (18.05.2010) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Konvoi ini diketuai oleh Noorazman Mohd Samsuddin yang juga merupakan Pengerusi Biro Haluan Palestin dan Pengarah Projek Lifeline4Gaza. Konvoi antarabangsa yang melibatkan wakil NGO dari 50 buah negara ini membawa 10,000 tan barangan keperluan untuk diagihkan kepada warga Palestin di Gaza. Lebih 80 orang hadir di malam tadi di KLIA untuk memberikan sokongan termasuk wakil-wakil daripada NGO-NGO disamping ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai peserta konvoi. Namun dari maklumat yang diterima, pasukan konvoi telah mula menghadapi ancaman dari tentera Israel pada malam tadi. Tentera Israel sudah mula menaiki kapal. SMS yang saya terima malam tadi menyatakan ketua misi Tuan Haji Noorazman: Kami sedang berada di Perairan Gaza dalam jam 4:30 petang (waktu Malaysia), kami sedang berdepan dengan kapal Israel. Pasukan konvoi LL4G Malaysia dan Indonesia diberi amanah untuk menjaga keselamatan kapal konvoi. Dijangkakan pasukan Komanso Israel akan turun ke kapal melalui helikopter dan cuba merampas kapal konvoi tersebut.Mohon diadakan solat hajat dari semua Muslimin dan Muslimat diseluruh dunia. Takbir..!
Marilah sama-sama kita doakan mereka antara 2 kemenangan, SYAHID atau MENANG DAN SAMPAI KE TEMPAT TUJUAN!
Isnin, 31 Mei 2010
Rasmi Serangan Rejim Zionis Terhadap Kapal Konvoi LL4G.
Jumaat, 21 Mei 2010
Dakwaan pengikut Asaari hanya ghaib, karut – Harussani
PUTRAJAYA 20 Mei – Pengikut Asaari Muhammad harus kembali kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menerima hakikat tiada manusia yang mati akan hidup balik.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, kepercayaan bahawa bekas pemimpin kumpulan haram Al-Arqam yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 13 Mei lalu itu cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat adalah karut.
“Sejak awal manusia dijadikan, tidak ada yang mati hidup balik kecuali Nabi Isa, itu pun disebut dalam Al-Quran telah diangkat ke langit dan akan dihantar ke dunia pada akhir zaman untuk menyelamatkan akidah umat Islam.
“Demikian juga dengan kepercayaan kaum Syiah Ismailiah bahawa Imam ke-12 mereka telah ghaib dan akan turun ke dunia (pada akhir zaman). Ia hanya kepercayaan tetapi tidak disebut dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah
“Macam Asaari, dia telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital (Hospital KPJ Ipoh Specialist), jenazahnya kemudian dituntut dan dikebumikan di perkampungannya. Arwah tidak ghaib,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar bahawa pengikut Asaari mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 73 tahun cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.
Rabu, 19 Mei 2010
Panduan untuk wanita yang bekerja menurut Dr Yusuff Qardhawi
Panduan untuk wanita yang bekerja menurut Dr Yusuff Qardhawi
WANITA BEKERJA
oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi
Soalan : Apakah hukumnya seorang wanita bekerja? Maksud saya ialah bekerja di luar rumah sebagaimana kaum lelaki. Adakah harus bagi wanita untuk turut terlibat sama memberi saham meningkatkan produktiviti, pembangunan dan juga aktiviti di dalam masyarakat? Atau adakah wanita itu hanya layak untuk terkurung serta bekerja di dalam linkungan rumah sahaja? Islam sebagaimana yang kami tahu adalah agama yang memuliakan kaum wanita serta lebih dahulu memberikan kepada mereka hak- hak kemanusiaan sebelum daripada Barat. Oleh yang demikian tidakkah perkerjaan itu juga anyara hak wanita yang akan memelihara air mukanya serta kehormatannya daripada menjadi barang murahan?
Mengapa wanita tidak turut menyertai medan kehidupan sebagaimana yang dilakukan oleh wanita Barat telah berjaya menajamkan keperibadiannya, memperolehi haknya serta memberi saham dalam memajukan masyarakatnya? Kami ingin mengetahui batasnya syarak untuk setiap pekerjaan yang diharuskan bagi kaum wanita Muslimah yang mana meskipun mereka bekerja, akan tetapi mereka tidak sekali- kali mengadaikan agama atau melalaikan segala tanggungjawabnya. Kalau boleh biarlah keterangan itu nanti jauh daripada sikap- sikap melampau yang melarang keras wanita daripada menuntut ilmu, bekerja dan keluar daripada rumah sekalipun ke masjid! Di samping itu, ia juga hendaklah jauh daripada segala pandangan yang bermudah- mudah; seolah- olah mahu membebaskan wanita Muslimah daripada segala ikatan sehingga menjadi barangan murahan di pasaran. Apa yang kami mahukan ialah hukum syarak yang sahih. Muslimah yang belajar.
Jawapan:
Wanita adalah manusia sebagaimana juga lelaki. Ini kerana kejadian kedua- duanya itu adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud:
“Setengah kamu ( adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.” ( Ali – Imran: 195)
Oleh kerana manusia adalah makhluk yang hidup, maka adalah menjadi tabiatnya untuk sentiasa berfikir dan juga bekerja. Tanpa kedua- dua ini, ia tidak akan menjadi manusia. Dan Allah (s. w. t) sendiri menjadikan manusia itu adalah untuk bekerja. Malah Allah tidak akan menjadikan manusia melainkan untuk di uji siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya. Oleh itu wanita di taklifkan untuk melakukan kerja- kerja yang baik sebagaimana ia juga di taklifkan ke atas lelaki. Dari sudut ganjaran pahala amalan yang dilakukan oleh wanita juga adalah sama sepertimana lelaki. Firman Allah: Maksudnya:
“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firmanNya: ” Sesungguhnya Aku tidak akan sia- siakan amal orang- orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan”. (Ali- Imran: 195)
Bukan sahaja ganjaran di akhirat, malah ia juga turut memperolehi habuannya di dunia. Firman Allah: Maksudnya:
“Sesiapa yang beramal saleh dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik”. ( An-Nahl: 97)
Wanita juga sebagaimana yang selalu disebut adalah sebahagian daripada masyarakat. Adalah suatu yang tidak logik jika Islam membantutkan separuh daripada masyarakatnya sendiri, menghukumnya sebagai kolot atau tidak berkeupayaan dan mengabaikan hak- haknyanserta mengeksploitasi kebaikan yang ada padanya tanpa memberinya sesuatu yang positif.
Sesungguhnya tiada lagi pekerjaan yang lebih utama dan agung bagi wanita selain daripada mendidik generasi. Tugas terssebut tidak ada seorangpun yang menyaingi atau cuba merampas daripadanya.
Untuk memikul tugas tersebut, Allah (s.w.t) telah memperlengkapkan wanita dengan persiapan fizikal dan juga spiritual. Dengan sebab itu adalah tidak wajar bagi wanita untuk menyibukkan tugasnya yang besar itu dengan material dan juga perkara- perkara lain walau apa sahaja keadaan sekalipun. Tambahan pula tiada seorang pun yang dapat mengambil alih tempat wanita untuk melaksanakan tugas yang sangat besar ini. Apatah lagi generasi kecil itu merupakan penentu kepada masa depan sesuatu ummah di samping ia sendiri merupakan sebesar- besarnya aset kepada manusia ( human resources). Kerja- kerja wanita yang lain termasuklah memelihara rumahnya, menggembirakan suaminya serta membentuk sebuah keluarga bahagia yang berdiri di atas asas ketenangan dan juga kasih sayang. Di dalam suatu hadis dinyatakan bahawa wanita melayani suaminya, maka perbuatannya dikira sebagai jihad fi sabilillah.
Ini tidaklah bermakna bahawa pekerjaan wanita diluar rumah itu adalah haram. Tanpa nas syarak yang benar- benar sahih serta jelas hukumnya, seorang tidak boleh untuk mengharamkan sesuatu perkara. Ini kerana asal kepada sesuatu perkara atau tindakan adalah harus. Berdasarkan asas inilah kami menyatakan bahawa:
Pekerjaan wanita pada zatnya itu adalah harus; kadang- kadang ia menjadi harus dan kadang- kadang pula ia menjadi wajib terutamanya jika di dalam keadaan yang benar- benar memerlukan si wanita itu bekerja. Antaranya janda atau wanita- wnita yang diceraikan dalam keadaan berharta dan sebatang kara, akan tetapi ia mampu untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang dapat menahannya daripada meminta- minta.
Kadang- kadang keadaan keluarga itu sendiri yang memerlukan wanita untuk bekerja seperti membantu suaminya memelihara anak-anaknya ataupun saudaranya yang kecil dan membantu bapanya yang telah tua sebagaimana kisah yang disebut di dalam surah al- Qasas mengenai dua orang anak nabi Syuaib yang telah membantu bapanya mereka memelihara kambing. Firman Allah: Maksudnya:
“Mereka menjawab: ” Kami tidak memberi minum (kambing- kambing) sehingga penggembala- penggembala itu membawa balik binatang ternakan masing- masing, dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.” (Al- Qosos: 23)
Begitu juga Asma’ binti Abu Bakar yang digelar ” empunya dua tali pinggang” turut membantu suaminya iaitu Az- Zubair bin al- ‘ Awwam memelihara kudanya, menyiram tamar malah dia sendiri yang menjujung air di atas kepalanya daripada kota Madinah hinggalah sampai ke kebunnya.
Kadang- kadang masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita seperti menjadi jururawat ataupun doktor kepada kaun sejenisnya, mendidik dan tugas- tugas lain yang khusus bagi wanita. Ketika melaksanakan tugasnya itu, adalah lebih baik jika dia hanya bergaul dengan kaum sejenisnya dan bukan dengan kaum lelaki. Ini kerana lelaki hanya dibenarkan mendapatkan khidmat daripada wanita di dalam keadaan dhorurah sahaja.
Kebenaran itupun adalah terhad pada perkara yang berkaitan dengan keperluan sahaja. Sekiranya kami katakan bahawa harus bagi wanita untuk bekerja, maka keharusan itu hendaklah terikat dengan beberapa syarat:
Pekerjaan yang hendak dilakukan itu sendiri adalah kerja yang halal. Atau dengan kata lain ia bukanlah kerja yang haram atau yang boleh menjerumuskannya ke jurang maksiat. Antaranya menjadi orang gaji kepada lelaki yang masih bujang, menjadi setiausaha kepada mana- mana Pengarah yang dalam banyak keadaan menuntutnya untuk duduk bersunyi- sunyian dengannya, menjadi penari yang kerjanya adalah membangkitkan nafsu, menjadi pelayan bar yang menghidangkan arak di mana Rasulullah (s.a.w) telah melaknat orang yang menghidang, membawa dan menjualnya, menjadi pramugari yang antara tugasnya ialah menghidangkan arak di samping terpaksa bermusafir dan menginap di negara orang yang terlalu asing tanpa di sertai dengan muhrimnya dan apa sahaja kerja yang diharamkan kepada wanita khususnya dan yang diharamkan kepada kedua- duanya; lelaki ataupun wanita.
Dia hendaklah memelihara adab sebagai seorang wanita Muslimah sama ada di sudut cara berpakaian, berjalan, bercakap dan sebagainya. Firman Allah: Maksudnya:
“Dan katakanlah perempuan- perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka( daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”… ” Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Al- Ahzab: 32)
Kerjanya itu tidak menjejaskan kewajipan- kewajipannya yang lain. Ini termasuklah kewajipan terhadap suami dan juga anak- anak. Ini kerana tanggungjawab terhadap keduanya merupakan kerja yang utama.
Wabillahi taufiq.
Isnin, 10 Mei 2010
BERSYUKURLAH DAPAT JADI GURU
SEJAK kebelakangan ini, banyak sungguh rungutan daripada mereka yang bergelar guru. Ada sahaja yang tidak puas hati terhadap apa yang dinikmati sekarang.
Bermula dengan isu guru penat mengajar, guru teraniaya, guru tersiksa mengajar di kawasan pedalaman dan entah apa-apa lagi, setiap rungutan dipaparkan bagi meraih simpati kerajaan dan orang ramai.
Meneliti setiap rungutan yang dipaparkan oleh media, nampaknya guru sekarang terlalu berkira dan tidak lagi ikhlas bekerja demi agama, bangsa dan negara.
Pepatah, guru menerangi kehidupan orang lain tidak lagi sesuai dipraktikkan kerana segala apa yang dilakukan guru sekarang, mereka mahukan pembalasan sama ada gaji lebih, elaun lebih dan lain-lain.
Jika itulah rungutan guru sekarang, cuba fikirkan tentang rakan penjawat awam atau swasta lain yang sesetengahnya bergaji jauh lebih rendah, walaupun memiliki kelulusan akademik yang sama.
Kalau tak sanggup pikul tugas sebagai guru, lebih baik letak jawatan agar murid dan pelajar tidak menjadi mangsa guru yang terlalu berkira dan tidak ikhlas bekerja.
PENOREH GETAH
Jeli, Kelantan
Sumber : Ruangan Forum Utusan Malaysia Online
Khamis, 6 Mei 2010
Kuasa Nuklear: Bersediakah Rakyat Malaysia Menghadapi Cabaran ?
Persoalan keperluan tenaga nuklear menjadi tanda tanya orang ramai pada hari ini akan keperluannya. Kebimbangan terhadap radiasi akibat kebocorannya menyebabkan sumber tenaga ini dinafikan kebaikannya yang sebenarnya menyumbang tinggi kepada alam sekitar. Tenaga Nuklear jika dikendalikan dengan betul adalah satu sumber tenaga yang selamat dan menjimatkan serta mampu memelihara alam sekitar dengan sumber kewangan yang rendah. Penggunaan nuklear yang efisien dan selamat sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan tenaga biojisim sepertimana yang kita amalkan kini. Rakyat Malaysia umumnya menyangkakan bahawa sumber tenaga elektrik negara kita bersumber dari kuasa hidro melalui empangan-empangan besar yang dibina seperti Empangan Chenderoh, Kenyir dan sebagainya. Namun hakikat dan faktanya sumber-sumber tenaga dari empangan ini hanyalah sekitar kurang dari 20% sumber tenaga elektrik negara dan bakinya adalah datang dari tenaga elektrik yang dijanakan menggunakan arang batu. Bayangkanlah kita semua maklum bahawa sumber arang batu merupakan sumber yang terhad. Kajian yang dilakukan ada yang berpendapat sumber ini mungkin akan bertahan sekitar 30 ke 40 tahun akan datang. Untuk itu, pihak Jabatan Bekalan Elektrik dan Tenaga Nasional Berhad telah mengkaji beberapa alternatif untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang timbul akibat ketiadaan arang batu nanti. Perbagai altenatif yang dicadangkan termasuklah mengenalpasti tempat-tempat yang berpotensi untuk dimajukan kuasa elektrik yang bersumber dari tenaga angin mahupun solar. Namun demikian, negara kita didapati tidak sesuai untuk mengaplikasikannya disamping kadar elektrik yang terhasil masih rendah. Bayangkan banyaknya empangan-empanagn hidro yang besar di negara kita ini pun masih hanya kurang dari 20% sahaja elektrik yang disumbangkannya. Sekitar tahun 90-an dahulu, kerajaan pernah mencadangkan agar dilaksanakan sebuah empangan terbesar hidro negara di Bakun, Sabah. Namun pembinaannya mendapat tentangan hebat daripada pihak-pihak alam sekitar di dalam dan di luar negara. Impak keatas pembinaan empangan terbesar tersebut telah mengorbankan berjuta-juta spesis flora dan fauna yang perlu dipelihara menyebabkan skala pembinaannya dikecilkan. Mungkin jika projek asal dilaksanakan pun masih tidak mampu untuk menampung keperluan elektrik negara. Kos bahan api seperti arang batu sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Sebab itulah kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi ke atas TNB untuk menjana elektrik melalui arang batu. Peningkatan tarif elektrik tentunya amat membebankan rakyat. Justeru satu kajian dan sumber alternatif baru yang selamat, murah dan mesra alam perlu dicari. Hasilnya, kerajaan telah dicadangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab agar mempertimbangkan sumber tenaga nuklear untuk diguna pakai. Sebenarnya sumber tenaga nuklear adalah sama seperti sumber-sumber tenaga yang lain. Pengeboman Nagasaki dan Hiroshima telah meninggalkan kesan mendalam pada sejarah manusia agar menjauhi sumber tenaga atom dan nuklear. Penggunaan nuklear sebagai senjata perang sememangnya patut tidak dibenarkan sebaliknya penggunaannya untuk kebaikan dan kemajuan sains dan teknologi sepatutnya dipertimbangkan. Nuklear bukanlah satu yang merbahaya jika digunakan dengan betul. Ibarat pisau dirumah jika digunakan untuk memotong ketika memasak bukankah ia amat penting dalam memudahkan kerja sebaliknya tentulah merbahaya jika ia digunakan untuk membunuh. Masyarakat barat sering mengkaji dan meneliti bagaimanakah kebaikan sesuatu dapat diguna pakai dan inilah yang berlaku. Jika benar nuklear amat merbahaya dan amat memudaratkan tentulah tiada satu pun negara di dunia ini sanggup menggunakannya. Namun, mentaliti negara maju tidak sedemikian. Justeru perbagai negara telah cuba menceburi bidang ini. Di negara kita Agensi Nuklear Malaysia ditubuhkan sejak 1972 lagi. Sebenarnya sebuah logi nuklear bagi tujuan penyelidikan telah pun dibina di negara kita sejak tahun 1982. Penggunaan tenaga nuklear bukanlah baru. Justeru kebimbangan tahap keselamatan yang menyebabkan kebocoran serta radiasi sepatutnya bukanlah menjadi isu yang membantutkan penggunaannya. Jika ia alternatif terbaik maka barangkali ia boleh dipertimbangkan. Negara-negara luar kini mula menyedari kepentingan nuklear dalam pembnagunan negara. Sebab tulah Iran mula mengaplikasikannya namun dipolitikkan oleh sebahagian besar dunia eropah agar Iran tidak dapat memperolehi kemajuan yang pesat akibat pembangunan tenaga tersebut. Sedangkan di negara-negara eropah yang lain, nuklear sudah tidak menjadi isu lagi. Keselamatan negara perlu dipertingkatkan dengan setinggi-tingginya bagi mempastikan logi nuklear ini tidak menjadi sasaran musuh. Untuk pembinaannya, negara bukan sahaja memerlukan pakar-pakar yang hebat malah perlu juga mempastikan tahap integriti pasukan keselamatannya serta kemampuan pertahanan yang tinggi agar penggunaannya tidak menjadi senjata musuh dalam menakluki negara kita. Saya percaya, kemampuan saintis-saintis negara telah bersedia untuk menghadapi cabaran itu. Sekarang cuma tahap integriti, keselamatan negara dan kesedaran rakyat perlu dipertingkatkan agar teknologi ini dapat direalisasikan.
wallahua'lam
Kuasa nuklear: Kebimbangan orang ramai diambil kira
KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan akan mengambil kira kebimbangan orang ramai terhadap cadangan membina loji janakuasa nuklear di negara ini sebagai satu sumber tenaga yang baru pada masa depan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, aspek keselamatan yang dikhuatiri oleh orang ramai itu akan diperhalusi dengan teliti melalui kajian pembinaan loji jana kuasa nuklear tersebut.
Bagaimanapun, katanya, isu keselamatan itu terlalu awal untuk diperkatakan kerana pembinaan loji tersebut masih di peringkat kajian.
"Masih terlalu awal untuk membincangkan tentang aspek keselamatan kerana laporan kajian berkaitan belum dikeluarkan lagi. Malah kita juga belum memutuskan lokasi tapak pembinaan loji jana kuasa nuklear itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Peter mengumumkan Malaysia akan memiliki loji jana kuasa nuklear pertama pada 2021 bagi menampung peningkatan penggunaan bekalan tenaga pada masa depan.
Menurutnya, rancangan pembinaan loji jana kuasa nuklear pertama di Asia Tenggara itu telah mendapat keizinan daripada Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN).
Dalam pada itu, katanya, bekalan tenaga yang ada setakat ini masih mampu menampung permintaan pengguna di negara ini.
Namun, tegasnya, pembinaan loji jana kuasa nuklear merupakan pelan untuk jangka masa panjang kerana ia dirancang demi kepentingan masa depan negara supaya kerajaan berupaya menampung permintaan yang semakin meningkat.
"Rancangan ini bukan untuk satu atau dua tahun depan sahaja, tetapi ia adalah pelan masa depan Malaysia untuk menampung permintaan bekalan tenaga pada 2021 dan selepas itu," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Fizik Gunaan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khoo Kok Siong berkata, kerajaan telah mengambil langkah tepat dengan cadangan loji janakuasa nuklear itu bagi membantu perkembangan negara.
Jelasnya, penjanaan nuklear akan membantu membangunkan negara ini dengan pesat berbanding penjanaan alternatif lain dan ia merupakan pilihan yang tidak dapat dielakkan.
"Kita harus belajar daripada Korea Selatan yang ekonominya jauh di belakang kita selepas perang pada 1950 tetapi selepas menggunakan penjanaan nuklear pada 1970-an, kini ia telah mencapai taraf kehidupan tinggi dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD20,000 (RM64,660) pada 2008," katanya.
Tambahnya, dengan adanya bekalan tenaga yang murah, ia juga menyebabkan proses industrialisasi di negara ini turut berkembang dengan pesat.
Rabu, 5 Mei 2010
Mari Mengenali Ulama':Sheikh Idris al Marbawi
Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi adalah seorang ulamak besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malahan di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.
Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu pada tahun 1913 bersamaan tahun 1333 Hijrah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Allahyarham Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok di Kuala Kangsar, Kedah, Bukit Mertajam dan Kelantan.
Sejak dari kecil lagi, al-Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-Quran. Ketika berusia 10 tahun juga, beliau telah mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk Al Quran di samping beberapa buah kitab lain.
Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok-pondok yang merupakan institusi pendidikan Islam yang terpenting di alam Melayu pada ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.
Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Lalu, pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al-Azhar.
Al-Marbawi di Mesir
Di Mesir, beliau menggondol kejayaan yang membanggakan dengan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti al-Azhar. Sebenarnya al-Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.
Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.
Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.
Sumbangan Karya al-Marbawi
Karya-karya al-Marbawi yang dihasilkan adalah melebihi 20 buah buah dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Ini sekaligus membuktikan al-Marbawi dalam pengajian ilmu-ilmu Islam.Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab-Melayu berbanding disiplin ilmu yang lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerah Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang diberikan oleh beliau dalam bidang persuratan Arab-Melayu.
Selain kamus Arab-Melayu, al-Marbawi juga telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadith. Antara tulisan beliau dalam bidang ini ialah Bahr al-Madhi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmidhi. al-Marbawi juga turut menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kitab Bulugh al-Maram iaitu sebuah karya hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh Hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Dua karya dalam bidang hadith berbahasa Melayu ini ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama’ Nusantara.
Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.
Selain bidang tersebut, al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi. Sheikh Muhammad Idris al Marbawi telah banyak menghasilkan ulama' ternama tanahair yang mana antara muridnya yang terkenal kini adalah Prof. Dato' Dr.Haron Din
Kamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi
Kitab yang paling tersohor yang telah dihasilkan oleh al-Marbawi ialah Kamus Arab-Melayu dan kitab Bahrul Mazi. Kedua-dua kitab ini digunakan sehingga ke hari ini. Antara keistimewaan kedua-dua hasil karya beliau ini adalah seperti berikut:-
1.Kamus al-Marbawi
Kamus ini merupakan kamus dwibahasa Bahasa Arab –Bahasa Melayu. Ia disusun dalam 2 jilid, iaitu jilid yang pertama bermula daripada huruf alif sehingga za'. Manakala jilid yang kedua bermula daripada huruf `ain sehingga ya'. Kamus ini mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.
2. Kitab Bahrul Mazi
Kitab Bahr al-Mazi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pengajian Hadith di Malaysia. Bahr al-Mazi ialah kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.
Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al-Marbawi mengikut acuan dan suasana masyarakat Malaysia. Karya ini memberikan nafas baru kepada pemahaman hadith-fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang hubungan yang earat antara kedua-duanya.
Anugerah Yang Diterima Oleh al-Marbawi
Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada tanggal 5 Julai 1980, atas usaha Prof. Dato’ Dr Haron Din, pihak senat universiti telah bersetuju agar Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada enam tahun berikutnya iaitu pada pada 1 Muharram 1408H beliau dinobatkan pula sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah.
Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu dan sumbangan al-Marbawi apabila beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak
Selasa, 4 Mei 2010
Haron Din Tumpaskan Mubaligh Angguh
Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya. Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar pula kepada siaran TV1 . Kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato’ Dr. Haron Din.
Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincangan itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: “Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran.”
Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu akhirnya bertekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi ‘masalahnya’ semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; “Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
“Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
“Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?”
Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: “Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir.”
“Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam,” jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
“Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan berbalah dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,” jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
“Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitabkitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.
“Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu,” tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
“Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din,” kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. “Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.
“Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.
“Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini,” ujarnya bersungguhsungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.
Sejarah Ringkas:Bahagian 1 (Sambungan)
Kesimpulan
Hasil daripada bahan sejarah yang dihidangkan, sebenarnya fakta-fakta sejarah itu benar namun dimanupulasikan agar ia dilihat cenderung atau lebih berpihak kepada sesebuah pihak. Jika semasa pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu dahulu, tentu sahaja Tok janggut dilabelkan sebagai pengganas, militan atau apa sahaja yang bersifat negatif. Namun, hakikatnya tidak sedemikian. Selepas negara kita merdeka. Nama-nama ini ditukar menjadi hero bangsa dengan tulisan yang lebih terbuka. Sejarah bangsa sebenar mula diperkenalkan, namun tulisan-tulisannya masih tidak ditulis dengan lengkap dan tinggal dalam lipatan sejarah yang hanya diperolehi buat mereka yang mengkaji dan meminatinya.
Memang sunnah, mereka-mereka yang berjuang dengan kebenaran yang mana perjuangan mereka beretentangan dengan pihak berkuasa atau mereka yang berkuasa, kelompok ini seringkali dicop sebagai pengganas atau apa-apa sahaja cop yang mengaibkan sebaliknya kelompok yang bersekongkol dengan penguasa dicop sebagai hero. Inilah yang dilakukan oleh Inggeris semasa era penjajah. Melabelkan pejuang-pejuang agama dan bangsa Melayu sebagai pengganas kerana menentang mereka dan label-label ini bertukar semasa era kemerdekaan. Parlebelan ini dilakukan dengan mainan kelompok pemerintah untuk membodohkan rakyat demi menjaga kepentinggan mereka. Nabi junjungan kita turut dilabel sedemikian. Sejarah mengertahui dan mencatitkan Muhammad sebagai insan yang sangat mulia dikala lahirnya...dikala kecilnya turut dilabel pengganas dan pemecah belah masyarakat hanya dengan tindakannya membawa agama dan ajaran Islam yang rahmat. Baginda diduga dengan sejuta dugaan yang akhirnya membawa kepada peperangan.
wallahua'lam