Jumaat, 21 Mei 2010

Dakwaan pengikut Asaari hanya ghaib, karut – Harussani


PUTRAJAYA 20 Mei – Pengikut Asaari Muhammad harus kembali kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menerima hakikat tiada manusia yang mati akan hidup balik.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, kepercayaan bahawa bekas pemimpin kumpulan haram Al-Arqam yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 13 Mei lalu itu cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat adalah karut.

“Sejak awal manusia dijadikan, tidak ada yang mati hidup balik kecuali Nabi Isa, itu pun disebut dalam Al-Quran telah diangkat ke langit dan akan dihantar ke dunia pada akhir zaman untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

“Demikian juga dengan kepercayaan kaum Syiah Ismailiah bahawa Imam ke-12 mereka telah ghaib dan akan turun ke dunia (pada akhir zaman). Ia hanya kepercayaan tetapi tidak disebut dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah

“Macam Asaari, dia telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital (Hospital KPJ Ipoh Specialist), jenazahnya kemudian dituntut dan dikebumikan di perkampungannya. Arwah tidak ghaib,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa pengikut Asaari mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 73 tahun cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

0 ulasan: