Khamis, 6 Mei 2010

Kuasa Nuklear: Bersediakah Rakyat Malaysia Menghadapi Cabaran ?


Persoalan keperluan tenaga nuklear menjadi tanda tanya orang ramai pada hari ini akan keperluannya. Kebimbangan terhadap radiasi akibat kebocorannya menyebabkan sumber tenaga ini dinafikan kebaikannya yang sebenarnya menyumbang tinggi kepada alam sekitar. Tenaga Nuklear jika dikendalikan dengan betul adalah satu sumber tenaga yang selamat dan menjimatkan serta mampu memelihara alam sekitar dengan sumber kewangan yang rendah. Penggunaan nuklear yang efisien dan selamat sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan tenaga biojisim sepertimana yang kita amalkan kini. Rakyat Malaysia umumnya menyangkakan bahawa sumber tenaga elektrik negara kita bersumber dari kuasa hidro melalui empangan-empangan besar yang dibina seperti Empangan Chenderoh, Kenyir dan sebagainya. Namun hakikat dan faktanya sumber-sumber tenaga dari empangan ini hanyalah sekitar kurang dari 20% sumber tenaga elektrik negara dan bakinya adalah datang dari tenaga elektrik yang dijanakan menggunakan arang batu. Bayangkanlah kita semua maklum bahawa sumber arang batu merupakan sumber yang terhad. Kajian yang dilakukan ada yang berpendapat sumber ini mungkin akan bertahan sekitar 30 ke 40 tahun akan datang. Untuk itu, pihak Jabatan Bekalan Elektrik dan Tenaga Nasional Berhad telah mengkaji beberapa alternatif untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang timbul akibat ketiadaan arang batu nanti. Perbagai altenatif yang dicadangkan termasuklah mengenalpasti tempat-tempat yang berpotensi untuk dimajukan kuasa elektrik yang bersumber dari tenaga angin mahupun solar. Namun demikian, negara kita didapati tidak sesuai untuk mengaplikasikannya disamping kadar elektrik yang terhasil masih rendah. Bayangkan banyaknya empangan-empanagn hidro yang besar di negara kita ini pun masih hanya kurang dari 20% sahaja elektrik yang disumbangkannya. Sekitar tahun 90-an dahulu, kerajaan pernah mencadangkan agar dilaksanakan sebuah empangan terbesar hidro negara di Bakun, Sabah. Namun pembinaannya mendapat tentangan hebat daripada pihak-pihak alam sekitar di dalam dan di luar negara. Impak keatas pembinaan empangan terbesar tersebut telah mengorbankan berjuta-juta spesis flora dan fauna yang perlu dipelihara menyebabkan skala pembinaannya dikecilkan. Mungkin jika projek asal dilaksanakan pun masih tidak mampu untuk menampung keperluan elektrik negara. Kos bahan api seperti arang batu sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Sebab itulah kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi ke atas TNB untuk menjana elektrik melalui arang batu. Peningkatan tarif elektrik tentunya amat membebankan rakyat. Justeru satu kajian dan sumber alternatif baru yang selamat, murah dan mesra alam perlu dicari. Hasilnya, kerajaan telah dicadangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab agar mempertimbangkan sumber tenaga nuklear untuk diguna pakai. Sebenarnya sumber tenaga nuklear adalah sama seperti sumber-sumber tenaga yang lain. Pengeboman Nagasaki dan Hiroshima telah meninggalkan kesan mendalam pada sejarah manusia agar menjauhi sumber tenaga atom dan nuklear. Penggunaan nuklear sebagai senjata perang sememangnya patut tidak dibenarkan sebaliknya penggunaannya untuk kebaikan dan kemajuan sains dan teknologi sepatutnya dipertimbangkan. Nuklear bukanlah satu yang merbahaya jika digunakan dengan betul. Ibarat pisau dirumah jika digunakan untuk memotong ketika memasak bukankah ia amat penting dalam memudahkan kerja sebaliknya tentulah merbahaya jika ia digunakan untuk membunuh. Masyarakat barat sering mengkaji dan meneliti bagaimanakah kebaikan sesuatu dapat diguna pakai dan inilah yang berlaku. Jika benar nuklear amat merbahaya dan amat memudaratkan tentulah tiada satu pun negara di dunia ini sanggup menggunakannya. Namun, mentaliti negara maju tidak sedemikian. Justeru perbagai negara telah cuba menceburi bidang ini. Di negara kita Agensi Nuklear Malaysia ditubuhkan sejak 1972 lagi. Sebenarnya sebuah logi nuklear bagi tujuan penyelidikan telah pun dibina di negara kita sejak tahun 1982. Penggunaan tenaga nuklear bukanlah baru. Justeru kebimbangan tahap keselamatan yang menyebabkan kebocoran serta radiasi sepatutnya bukanlah menjadi isu yang membantutkan penggunaannya. Jika ia alternatif terbaik maka barangkali ia boleh dipertimbangkan. Negara-negara luar kini mula menyedari kepentingan nuklear dalam pembnagunan negara. Sebab tulah Iran mula mengaplikasikannya namun dipolitikkan oleh sebahagian besar dunia eropah agar Iran tidak dapat memperolehi kemajuan yang pesat akibat pembangunan tenaga tersebut. Sedangkan di negara-negara eropah yang lain, nuklear sudah tidak menjadi isu lagi. Keselamatan negara perlu dipertingkatkan dengan setinggi-tingginya bagi mempastikan logi nuklear ini tidak menjadi sasaran musuh. Untuk pembinaannya, negara bukan sahaja memerlukan pakar-pakar yang hebat malah perlu juga mempastikan tahap integriti pasukan keselamatannya serta kemampuan pertahanan yang tinggi agar penggunaannya tidak menjadi senjata musuh dalam menakluki negara kita. Saya percaya, kemampuan saintis-saintis negara telah bersedia untuk menghadapi cabaran itu. Sekarang cuma tahap integriti, keselamatan negara dan kesedaran rakyat perlu dipertingkatkan agar teknologi ini dapat direalisasikan.
wallahua'lam



Kuasa nuklear: Kebimbangan orang ramai diambil kira

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan akan mengambil kira kebimbangan orang ramai terhadap cadangan membina loji janakuasa nuklear di negara ini sebagai satu sumber tenaga yang baru pada masa depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, aspek keselamatan yang dikhuatiri oleh orang ramai itu akan diperhalusi dengan teliti melalui kajian pembinaan loji jana kuasa nuklear tersebut.

Bagaimanapun, katanya, isu keselamatan itu terlalu awal untuk diperkatakan kerana pembinaan loji tersebut masih di peringkat kajian.

"Masih terlalu awal untuk membincangkan tentang aspek keselamatan kerana laporan kajian berkaitan belum dikeluarkan lagi. Malah kita juga belum memutuskan lokasi tapak pembinaan loji jana kuasa nuklear itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Peter mengumumkan Malaysia akan memiliki loji jana kuasa nuklear pertama pada 2021 bagi menampung peningkatan penggunaan bekalan tenaga pada masa depan.

Menurutnya, rancangan pembinaan loji jana kuasa nuklear pertama di Asia Tenggara itu telah mendapat keizinan daripada Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN).

Dalam pada itu, katanya, bekalan tenaga yang ada setakat ini masih mampu menampung permintaan pengguna di negara ini.

Namun, tegasnya, pembinaan loji jana kuasa nuklear merupakan pelan untuk jangka masa panjang kerana ia dirancang demi kepentingan masa depan negara supaya kerajaan berupaya menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Rancangan ini bukan untuk satu atau dua tahun depan sahaja, tetapi ia adalah pelan masa depan Malaysia untuk menampung permintaan bekalan tenaga pada 2021 dan selepas itu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Fizik Gunaan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khoo Kok Siong berkata, kerajaan telah mengambil langkah tepat dengan cadangan loji janakuasa nuklear itu bagi membantu perkembangan negara.

Jelasnya, penjanaan nuklear akan membantu membangunkan negara ini dengan pesat berbanding penjanaan alternatif lain dan ia merupakan pilihan yang tidak dapat dielakkan.

"Kita harus belajar daripada Korea Selatan yang ekonominya jauh di belakang kita selepas perang pada 1950 tetapi selepas menggunakan penjanaan nuklear pada 1970-an, kini ia telah mencapai taraf kehidupan tinggi dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD20,000 (RM64,660) pada 2008," katanya.

Tambahnya, dengan adanya bekalan tenaga yang murah, ia juga menyebabkan proses industrialisasi di negara ini turut berkembang dengan pesat.

0 ulasan: