Membaca ruangan Forum di Utusan Malaysia mengenai Kisah GRO IPTA dan Pelajar IPTA jadi GRO merupakan salah satu rencah sosial yang dikatakan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Sememangnya kesalahan-kesalahan sebegini dahulunya mungkin kesalahan 'terpencil' yang berlaku di IPTA namun kini dikatakan semakin menjadi-jadi. Seorang pensyarah kanan berpangkat Prof. Madya di sebuah IPTA pernah menceritakan kepada saya pengalamannya sepanjang berkecimpung dalam dunia universiti melihat tata kelakuan pelajarnya yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu. Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains tersebut menyatakan seorang pelajarnya pernah menjemputnya bertemu di suatu tempat (luar universiti) untuk berbincang tetang kegagalannya dalam subjek******. Bagaikan tidak percaya apabila pensyarah tersebut mendapati perubahan ketara pelajarnya apabila berada di luar universiti dengan pakaian persis seperti seorang pelacur. Bantuan Allah menyelamatkan pensyarah terbabit dari terus tergoda dengan jelingan dan pujukan manja pelajarnya itu. Saya percaya, pihak universiti pastinya akan mengambil tindakan termasuk membuang pelajar terbabit terutamanya yang melibatkan nama baik universiti. Namun, tanggungjawab ini bukan hanya terletak kepada pihak pengurusan universiti semata-mata. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul oleh semua pihak. Baik diperingkat pengurusan universiti, para pensyarahnya serta masyarakat dan negara. Kepimpinan negara melalui kementerian penerangan dan pihak berwajib seharusnya menggunakan saluran media cetak dan elektronik melalui peraturan mahupun akta yang digubal bagi mempastikan setiap media-media rasmi dan berdaftar di negara ini mengikuti keseluruhan garispanduan yang ditetapkan. Garis panduan tersebut hendaklah mengandungi elemen penekanan kepada akhlak dan sosio budaya yang lebih sopan yang sesuai dengan tuntutan agama Islam khususnya. Setiap penulisan dan paparan filem mahupun fesyen pakaian para artis. Rancangan penerapan kepada kefahaman agama mestilah dibanyakkan dan rancangan berbentuk hiburan yang bertentangan Islam hendaklah dihapuskan sama sekali. Di Pihak Universiti seharusnya menguatkuasakan peraturan pemakaian dengan lebih sempurna serta para pelajar wanita hendaklah diutamakan agar tinggal di Kolej Kediaman yang tentunya lebih selamat daripada anasir-anasir yang boleh menggugat Iman.
Saya pernah mengigatkan para pelajar sama ada para pelajar Kolej/IPTA mahupun pelajar yang bakal ke IPTA dalam siri tazkirah saa di Institut GPMS satu ketika dahulu agar mereka menjaga maruah diri dan menjauhkan diri daripada anasir-anasir maksiat tersebut. Jika dilihat pelajar IPTA dahulu dengan pelajar IPTA sekarang tentunya amat berbeza sekali. Dahulu, sebuah keluarga barangkali dipencilkan oleh masyarakat disebabkan kedhoifan hidup mereka...namun, disebabkan seorang anaknya masuk ke IPTA, nama keluarga tersebut harum mekar disebut-sebut orang. Pelajar IPTA dilihat umpama bunga yang cantik mekar, mereka dihormati dan dicontohi...tak kira apa bidang yang mereka ceburi...sikap dan akhlak mereka amat baik sekali...tapi kini...pelajar IPTA tidak seperti dahulu lagi...Perangai mereka kadang-kala tak ubah macam kelompok-kelompok yang tidak berpelajaran dan tidak punyai budi pekerti. Melacur, merempit semua ini perbuatan yang tidak sepatutnya ada pada diri bakal graduan universiti. Jika pelajar universiti sudah tidak punyai akhlak dan jati diri....maka akan hancurlah negara. Kerana pelajar ini kelak bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Sebuah syair arab jelas menyatakan " Jika ingin dilihat ummah akan datang...maka perhatikanlah pemuda-pemudinya pada masa kini...Jika pemuda-pemudinya rosak...maka akan rosaklah ummahnya kelak". Kalau dahulu, pelajar universiti terkenal dengan imej nasyidnya tapi kini imej-imej merosakkan telah mula ditonjolkan...berbanggalah seorang pelajar universiti dengan rentak indenya sambil mengenakan tudung...begitulah dahsyatnya ujian dunia...Sesungguhnya banyaknya maksiat dan penzinaan antara punca kepanasan global kini...lihat dan kajilah hadis nescaya kita akan dapat jawapannya. Marilah kita bersama-sama memelihara diri, keluarga dan masyarakat dari kancah tersebut..Semoga kita semua dilindungi Allah daripada bala yang mengasyikkan ini
wallahua'lam
Lagi kisah GRO IPTA
DI ruangan ini saya ingin mendedahkan kebimbangan 'Bapa Resah' terhadap gejala 'Pelajar IPTA jadi GRO' yang disiarkan kelmarin (Isnin, 22 Mac 2010).
Untuk makluman pekara ini sudah lama berlaku cuma ia disedari oleh segelintir sahaja golongan akademik IPTA itu sendiri. Bahkan saya sudah beberapa kali mengingatkan teman-teman perniagaan supaya jangan melanggan gadis-gadis ini, namun mereka tetap juga menggunakan gadis-gadis itu untuk memuaskan nafsu mereka.
Sebagai seorang yang hidup di dunia korporat saya sering bertemu dengan teman-teman saya yang membawa gadis-gadis GRO 'menara gading' ini ke majlis-majlis jamuan serta berhibur di hotel-hotel mewah.
Sebenarnya perkataan GRO adalah tidak tepat kerana gadis-gadis ini kebanyakannya adalah menjadi 'perempuan simpanan' kepada golongan berwang ini. Gadis-gadis ini dijadikan hamba nafsu golongan-golongan ini setelah diumpan dengan wang ringgit, kereta mewah dan kehidupan eksklusif.
Kebanyakan sugar daddy ini terdiri daripada golongan ahli perniagaan yang mempunyai dompet tebal. Maklum sajalah apalah yang hendak dihiraukan jika mereka mendapat tender bernilai jutaan ringgit setiap tahun serta projek-projek yang menanti.
Kebanyakan gadis-gadis ini disediakan rumah, villa mewah, kereta sport mewah daripada bertaraf Proton Satria hinggalah ke Mercedes sport. Sementara pakaian mereka daripada jenama yang mahal serta dijanjikan habuan bercuti keluar negara. Saya ingin sebutkan IPTA yang ramai gadis-gadis yang menjadi 'perempuan simpanan' adalah dari ******, ******, ****** dan ****** serta sebahagian kecil dari universiti swasta di Lembah Klang.
Mungkin ramai yang menyangka sugar-sugar daddy ini bergelar Datuk atau Tan Sri tetapi tuduhan itu tidak benar kerana kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan yang baru naik dan belum ada apa-apa gelaran lagi. Saya pernah mengingatkan teman-teman 'berwang' ini supaya tidak menjadikan gadis-gadis IPTA ini sebagai mangsa mereka. Mereka adalah ibarat bunga bangsa, jika rosak mereka, maka rosaklah generasi masa depan kita. Saya ingatkan jika mereka juga mempunyai anak, adik atau saudara perempuan bagaimana perasaan mereka bila mereka ini dijadikan 'perempuan simpanan' atau selayaknya 'wanita lacur'.
Namun ingatan saya ini hanya diketawakan oleh mereka yang mengatakan wanita muda ini yang inginkan wang mereka.
Saya boleh ceritakan tentang seorang siswi IPTA di Pantai Timur yang sering mengikuti sugar daddy ini sewaktu cuti semester ke luar negara bermain golf di Australia, Singapura dan Bali.
Sepanjang satu hingga dua minggu bercuti hanya dihabiskan bersama sugar daddy tersayang. Apabila pulang sarat dengan belian barangan dan pakaian mewah semuanya ditaja oleh sugar daddy.
Kebanyakan 'gadis-gadis simpanan' ini tidak mempunyai perjanjian atau ikatan untuk mengahwini lelaki berwang ini. Taraf lelaki berwang ini sekadar membiayai makan pakai, kediaman dan kereta serta melunaskan bayaran pengajian sepanjang empat tahun di universiti.
Lepas tamat pengajian gadis-gadis ini boleh lepas bebas dan mereka tiada ikatan lagi. Bayangkan gadis-gadis 'rosak' ini bakal mengahwini sekian banyak teruna yang baik-baik setelah akhir pengajian mereka. Ataupun sesetengahnya menjerat VIP atau ahli politik tertentu berdasarkan pengalaman mereka yang lalu.
Amat mudah untuk mengenali gadis-gadis simpanan ini. Selain dari memiliki kereta mewah, mereka tinggal di kawasan eksklusif dan kondominium secara berseorangan serta penampilan mereka agak lain dengan rambut yang sentiasa berdandan rapi dan berpakaian jenama mahal.
Mereka ini selalunya berhimpun sesama mereka di kelab-kelab eksklusif serta berbelanja menggunakan kad kredit.
Berdasarkan pengalaman saya seperti yang dialami oleh 'Bapa resah' itu tadi gadis-gadis yang ditemui di hotel mewah itu hanya datang berhibur.
Sebenarnya di situlah tempat mulanya untuk berkenal-kenalan dengan bakal sugar daddy.
Sebenarnya gadis-gadis itu sudah tahu jika ada yang sudi berkenalan dan berakhir di bilik hotel serta sanggup membiayai hidup mereka maka hal-hal di atas yang saya ceritakan adalah perkara lumrah yang berlaku. Perjanjian secara tidak langsung berlaku, seperti berapa tahun pengajian dan jumlah yang diperlukan oleh gadis itu dalam sebulan. Inilah pasar tawar-menawar sugar daddy untuk merebut 'gadis simpanan' mereka.
Sebagai penganut Islam saya merasa bersalah jika tidak mendedahkan maksiat yang berlaku ini.
Saya ingin menyeru pihak universiti agar mengambil tindakan terhadap siswi-siswi yang melakukan kerja terkeji ini.
Begitu jugak hukuman Syariah yang berat perlu dijatuhkan ke atas sugar-sugar daddy ini kerana mempergunakan gadis-gadis yang lemah untuk melampiaskan nafsu mereka.
BAPA PRIHATIN
Shah Alam
Pelajar IPTA jadi GRO?
BARU-BARU ini saya ke Lembah Klang atas urusan perniagaan dan menetap di sebuah hotel terkemuka di kawasan Subang.
Pada malamnya, selepas jamuan makan bersama rakan-rakan perniagaan, mereka telah mengajak saya ke kelab malam yang juga berada di dalam hotel yang saya diami.
Pada mulanya saya menolak kerana saya jarang berhibur dan tidak minum minuman keras, tetapi diberitahu cuma untuk berehat dan disediakan minuman ringan jadi saya pergi bersama rakan-rakan.
Setelah setengah jam saya duduk, kami didatangi pelayan dan juga saya lihat ramai gadis Melayu yang masih muda bekerja di situ. Kebetulan rakan saya agak ramah dan memanggil gadis untuk berbual. Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu bahawa anak gadis tersebut merupakan pelajar IPTA dan bekerja part time sebagai pelayan dan mereka tanpa segan-silu berbual dan berpegang-pegangan.
Saya ambil peluang untuk berbual dengan gadis tersebut dan diberitahu, pada siang hari dia adalah pelajar dan sering ponteng kuliah kerana tidak cukup tidur pada malam hari.
Ditanya kenapa lakukan kerja itu, dengan selamba dia menjawab mahu mencari wang untuk hidup mewah, kerja macam ini senang dapat duit.
Saya tersentak kerana anak gadis saya juga masih menuntut di IPTA di Lembah Klang. Apabila ditanya, bagaimana boleh keluar bekerja pada malam hari, mereka memberitahu bahawa mereka tidak duduk di kolej kediaman tetapi menyewa bersama teman-teman di luar, sekitar kawasan tersebut.
Saya terkejut kerana kurangnya penguatkuasaan daripada Majlis Agama Islam Selangor sehingga anak-anak gadis Melayu boleh bekerja dengan pakaian yang menjolok mata dan melayan lelaki hidung belang hanya kerana diumpan dengan wang ringgit.
Mereka juga tanpa segan silu untuk minum minuman keras apabila diminta untuk minum bersama dengan pelanggan yang datang.
Saya menyeru kepada golongan ibu bapa, selalulah mengawasi pergerakan anak gadis kita supaya tidak terjerumus kepada perkara yang tidak bermoral.
BAPA RESAH
Khamis, 25 Mac 2010
Masalah Sosial Pelajar Kini (Bahagian 1)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan