KUALA LUMPUR 26 April - Kecemerlangan, kreativiti dan inovasi membolehkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi diiktiraf sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R & D) terbaik di negara ini melalui Anugerah Harta Intelek Negara 2010.
Universiti itu sebelum ini telah dua kali diiktiraf sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan terbaik melalui anugerah sama bagi kategori organisasi pada 2006 dan 2009.
Ia ekoran usaha berterusan UTM dalam menggalakkan penyelidiknya mempergiat aktiviti penyelidikan yang memberi penekanan kepada penghasilan harta intelek dan pengkomersialan produk.
Anugerah yang dimenangi bagi kali ketiga itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Naib Canselor UTM, Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2010 di sini hari ini.
Sebagai penerima anugerah itu, UTM membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil penghargaan.
Anugerah tersebut turut mengiktiraf individu dan pelajar atas sumbangan harta intelek mereka dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Pensyarah Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim dinobat sebagai pemenang utama kategori 18 tahun ke atas bagi anugerah tersebut kerana mencipta kaedah kegunaan industri dalam Sains Kimia.
Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan sijil penghargaan.
Sementara itu, empat pelajar Sekolah Menengah Teknik Slim River, Perak iaitu Mohd. Faris Mohd. Redzuan, Muhammad Ridzwan Akoailah, Ahmad Rejab Abd. Rahim dan Mohd. Hazrul M. Najib pula menjadi pemenang utama anugerah itu bagi kategori bawah 18 tahun.
Mereka yang menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan diiktiraf kerana berjaya mencipta sejenis bahan binaan yang mesra alam.
Selasa, 27 April 2010
UTM sekali lagi diiktiraf organisasi terbaik R & D
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan