Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).
Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.
ULASAN SAYA: Kenapa tuan Dr melihatnya dari kaca mata barat ? Apakah kaitan gerakan wahabi dengan barat ? Adakah barat terlibat memberikan dana kepada gerakan ini sehinggakan pandangan barat digunakan untuk menguatkan hujah? Bagaimana kesnya penentangan Raja Saud yang dikatakan disokong oleh golongan wahabi dan penjajah barat sehinggakan menjatuhkan khilafah Islam di Turki dahulu? bagaimana pula dengan pembunuhan para ulama akibat tidak sealiran dengan gerakan wahabi seperti yang didakwa oleh sesetengah pencatat sejarah? Lihatlah sejarah Wahabi dengan lebih terpeinci dan terbuka.
Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.
ULASAN SAYA: Apakah kes sebegini benar-benar terjadi atau hanya rekaan sang Dr semata-mata ? Tidak pernah saya jumpa lagi ada imam yang mengenakan bayaran tertentu hanya untuk zikir dan solat...janganlah tuan Dr memfitnah kelak nanti ia akan memakan diri.
Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.
ULASAN SAYA: Benarkah ustaz menentang penentangan khurafat ? Ustaz mana tu tuan Dr ? ustaz wahabi ka ?? sebenarnya ustazlah yang menggalakkan penentangan khurafat..Kejayaan para ustaz, tok guru pondok dan alim ulama yang benar dari dahulu hingga sekaranglah yang menentang pemakaian tangkai termasuk lilitan benang ditangan, gambar dan sebagainya. Kalau dahulu mandi safar menjadi ibadat kini adat khurafat sedemikian sudah tidak dilaksanakan lagi atas usaha murni dakwah para ustaz yang benar. Ustaz yang pakai tangkai tu ustaz wahabi kot atau ustaz sesat...janganlah terus hukum...takkan tuan Dr yang ada phd pun tak boleh nak beza ustaz benar dengan ustaz sesat??
Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.
ULASAN SAYA : Mana le ustaz tu tak label tuan Dr wahabi....sebab kalau tuan Dr bukan wahabi sepatutnya tuan Dr meraikan perbezaan pendapat. Ia hanya isu khilaf yang dah lama selesai. Para ustaz wahabi ni kalau sapa tak terima kata-katanya dituduh orang itu sesat, pelaku bid'ah yang akhirnya masuk neraka. Seolah-olah ustaz wahabi ni ada hak nak tentukan siapa ahli syurga dan siapa ahli neraka. Kalau tuan Dr merasakan tuan Dr bukan wahabi sepatutnya tuan Dr berlapang dada. Isu khilaf ni kalau nak buat pun boleh tak buat pun boleh...jadi terserahlah sebab masing-masing ada hujah dan hadis. Wallahua'lam
Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.
ULSASAN SAYA: Teguran untuk berrhati-hati dalam memberikan hujah sebegini saya setuju.
Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama.Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.
ULASAN SAYA : Saya setuju dengan pendapat tuan Dr tapi tuan Dr juga mestilah terbuka jika nak orang lain bersifat terbuka dengan tuan Dr.
Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.
ULASAN SAYA: Sebagai orang yang mempelajari ilmu agama janganlah sesekali kita terlibat dengan fitnah. Saya tidak tahu apa itu Ahbash seperti yang tertulis dalam banyak blog wahabi yang amat menentangnya. Sebagai manusia, saya mengigatkan tuan dan diri saya agar tidak mudah menuduh dan memfitnah serta menyatakan perkara yang tidak diketahui.
Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.
Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:
“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).
ULASAN SAYA: Mengapa tuan Dr hanya memetik kata-kata Dr Yusuf al-Qardhawi sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain?
Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.
ULASAN SAYA: La..tak kan tuan Dr tak tahu tentang perkara ni berada dalam khilafiyyah ?? jadi apa salah pula kalau nak pakai mazhab lain? Ia hanya usaha untuk cari redho Allah semata-mata. Allah Maha Tahu..tapi dalam urusan harian biasa eloklah guna satu mazhab yang kita benar-benar arif akan mazhab tersebut...kerana setiap mazhab ada sebab-sebab dan hujjah khusus yang perlu diteliti dan diselidiki.
Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.
ULASAN SAYA: Pandangan jangan sampai memaksa orang mengikut pandangan kita semata...kalau macam tu sapa tak marah ? Beruk kat hutan pun marah!!
Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.
ULASAN SAYA: Dr hanya becakap ikut suka Dr sahaja....
Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.
David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.
ULASAN SAYA: Sememang beginilah yang berlaku di akhir zaman. Ahli agamalah yang akan merosakkan agamanya. Ahli agama yang cepat melatah serta memaksa orang menerima pandangannya semata-mata serta menidakkan khilafiyyah agama seolah-olah agama ini jumud dan sempit...tapi peliknya dituduhnya orang yang menggalakkan perluasan fikiran sebagai jumud pula?? Kadang-kadang dalam dakwah ini kita perlu nyatakan satu mazhab sahaja...contohnya bagi golongan tua mereka sudah tidak mampu untuk buat perbandingan mazhab lagi...mereka tak mahu pening-pening...mereka nak tahu boleh ke tak boleh halal ke haram....tak nak dengar pendapat ni kata boleh dan pendapat ni kata tak boleh...mereka bukan budak universiti yang perlu banyak maklumat untuk buat perbandingan.
Rabu, 9 Disember 2009
Misteri Wahhabi Di Malaysia Oleh Dr Asri Zainul Abidin- Satu Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan