Saya Tidak Lebih Baik Daripada Nabi Musa, Mereka Yang Lalai Itu Tidak Lebih Buruk Dari Firaun -Dr Asri
Melihat kepada kenyataan Yang Diraikan Tuan Mufti Selangor, saya kira beberapa sudut pandangan ingin saya berikan;
Pertama: saya menghormati perbezaan dan hak beliau untuk memberikan pendapat. Saya tidak akan mempertikaikan hak bersuara dan memberi pendapat selagi ia diuruskan dengan kematangan intelektual, bukan dengan kerakusan kuasa.
Kedua: Dalam sejarah dakwah, insan-insan yang lebih baik daripada kita bahkan tidak dibandingkan dengan kita iaitu para nabi telah pergi berjumpa dan berbicara dengan mereka yang jauh lebih buruk, zalim dan sangat menderhakai Allah dibanding sesetengah mereka yang lalai hari ini.
Bacalah al-Quran, contohnya, bagaimana Nabi Musa diperintahkan Allah untuk berjumpa Firaun di istana Firaun yang penuh dengan kesyirikan dan kezaliman. Nabi Musa a.s telah pergi, bertemu, menasihati dan berbicara dengan Firaun.
Adakah sesiapa yang merasakan dirinya lebih baik daripada Nabi Musa a.s. dan masyarakatnya lebih buruk daripada Firaun? Dakwah itu mulia kerana tujuannya mulia di mana pun ia pergi. Adakah hanya orang masjid sahaja yang patut mendengar ajaran Islam sementara yang lain dibiarkan hanyut?! Saya rasa tidak demikian, dakwah ini bersifat merakyat dan merentasi segala sempadan.
Ketiga: Malanglah dakwah ini jika ‘golongan bergaji’ atas nama agama hanya ingin duduk dalam bilik berhawa dingin dan atas kerusi empuknya sahaja. Lantas menganggap jijik untuk turun ke padang. Malanglah dakwah ini jika setiap hanya mengukurnya dengan kerja rasmi atau kadar gajinya.
Lebih malang lagi, jika kita menerima gaji lebih besar dari kerja dakwah yang dijalankan. Jika baginda Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi ke setiap pelosok masyarakat baginda dan hanya duduk di masjid dan rumah mewah sahaja, tentulah Islam tidak berkembang dan tersebar. Kita patut mencontohi Nabi s.a.w. dan tidak boleh bongkak dan membesar diri. Nabi s.a.w dan para sahabat tidak bergaji, sedangkan kita bergaji dan berkereta mewah.
Keempat: Saya berterima kasih dengan sokongan yang tidak putus dari berbagai pihak yang ingin menyertai dan berkerjasama dalam usaha dakwah ke serata tempat termasuk pusat-pusat hiburan. Sokongan artis, ahli politik dan anak-anak muda amat memberangsangkan. Sokongan ini bukan untuk kepentingan saya, tetapi untuk masa depan kesedaran dakwah untuk umat ini.
Kelima: Saya akur dengan kesibukan tugas yang ada. Bukanlah semesti saya akan pergi sentiasa ke tempat-tempat tersebut. Namun sebagai rangsangan awal dan galakan kepada usaha-usaha mendekati sasaran dakwah maka saya insyaAllah akan cuba mendapatkan masa yang sesuai untuk memulakan langkah awal dan galakan. Selepas itu menyusun program ke arah membantu hal tersebut.
Keenam: Saya berharap setiap individu muslim meneruskan usaha menyampaikan kebaikan Islam. Jangan takut dengan halangan isu tauliah, tetapi takutlah Allah jika kita gagal menyampaikan kesedaran, kebenaran, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar.
ULASAN SAYA: Dr Asri dalam perkara pertama menyatakan kononnya beliau menghormati perbezaan pendapat. Jika benar sedemikian mengapa Dr Asri mengeluarkan artikel-artikel yang memburuk-burukkan Sheikh Nuruddin Marbu al Banjari di dalam Mingguan Malaysia dalam ruangan Minda Mufti satu ketika dahulu. Demikian juga tulisan-tulisan Dr Asri sama ada melalui akhbar mahupun buku-buku yang ditulis termasuk cara dan adab yang beliau tonjolkan ketika perbahas dengan Dr Abdul Aziz Hanafi di INTIM satu ketika dahulu...Semua ini menunjukkan Dr Asri seolah-olah tidak menghargai perbezaan pendapat yang ada dalam Islam.
Dalam perkara keenam pula, bukankah Dr Asri pernah menulis sebuah artikel yang menyentuh tentang dakwah yang kononnya dicemari oleh orang Islam sendiri? Seolah-olah hanya orang agama sahajalah yang layak berdakwah...kenapa kini tulisan lebih bersifat umum pula ? wallahua'lam.
Rabu, 9 Disember 2009
Ulasan Dr Mohd Asri Asri Terhadap Kenyataan Mufti Selangor
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan